SYDNEY, 18 MEI – China telah menarik balik larangan import kayu Australia, kata Duta Besar Beijing hari ini, setelah hubungan dingin antara kedua-dua negara semakin pulih.
Xiao Qian memberitahu pemberita di Canberra bahawa China akan menyambung semula import kayu Australia pada Khamis selepas Beijing menyekat perdagangan pada 2020.
“Semalam, Kastam China telah memaklumkan secara rasmi kepada Menteri Pertanian Australia bahawa mulai hari ini, China akan menyambung semula import kayu Australia,” kata Xiao pada sidang akhbar di Canberra.
Penyambungan semula perdagangan kayu balak, bernilai kira-kira AUD$600 juta (AS$400 juta) setahun menurut data kerajaan, berlaku di tengah-tengah hubungan yang bertambah baik antara kedua-dua negara, katanya.
“Terdapat juga isu lain yang sedang dibincangkan yang membolehkan saya mengatakan bahawa momentum adalah positif,” tambah Xiao.
Minggu lalu, menteri perdagangan kedua-dua negara bertemu secara bersemuka buat kali pertama sejak 2019, ketika kerajaan Australia berhaluan tengah berhasrat untuk membaiki hubungan yang semakin tegang di bawah pentadbiran terdahulu.
Rakan dagang terbesar Australia menyekat import kayu negara itu pada 2020, memetik penemuan perosak pada penghantaran kayu.
Tetapi ia adalah antara beberapa komoditi Australia yang dikenakan larangan dan sekatan import, termasuk arang batu, barli dan wain, ketika hubungan diplomatik antara Beijing dan Canberra merosot semasa kemuncak COVID-19. – AFP
