Sunday, December 15, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Larangan mendatangi dan mempercayai tukang ramal

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Sambungan dari minggu lepas

    TUKANG RAMAL DAN RAMALANNYA

    Tukang ramal adalah orang yang menyampaikan khabar mengenai kejadian-kejadian yang bakal berlaku pada hari kemudian. Dia mendakwa mengetahui semua rahsia-rahsia dan dapat membaca perkara-perkara ghaib.

    i. Ramalan pula bermaksud perkhabaran tentang perkara-perkara ghaib. Ia terbahagi kepada dua bentuk iaitu: Ramalan yang terhasil di atas asas ilmiah seperti meramalkan turun hujan esok hari atau meramalkan tinggi suhu panas dan sebagainya.

    Ramalan seumpama ini (dengan kecanggihan teknologi masa kini) adalah dibolehkan kerana ia terhasil daripada asas yang kukuh iaitu dari hasil kajian keadaan cuaca.

    ii. Ramalan yang terhasil di atas asas yang bukan ilmiah untuk meramal perkara akan datang seperti meramal nasib seseorang atau yang seumpamanya, melalui pembacaan tapak tangan, penelitian bintang, perkhabaran jin dan sebagainya.

    Hukum ramalan bentuk ini adalah haram. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang mendatangi dukun mahupun tukang ramal bagi mendapatkan perkhidmatan mereka kerana perkataan mereka itu tidak benar dan tidak diterima. Ini berdasarkan hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya:

    Foto Canva

    a. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Siapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lantas dia membenarkan (mempercayai) apa yang dikatakannya (dukun atau tukang ramal), maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    (Hadits riwayat Ahmad)

    Ketika menjelaskan perbezaan antara al-Kahin (dukun) dan al-’Arraf (tukang ramal), maksud al-Kahin ialah orang yang memberi perkhabaran tentang kejadian-kejadian pada waktu akan datang dan mendakwa mengetahui segala rahsia-rahsia.

    Manakala maksud al-’Arraf ialah seseorang yang mendakwa mengetahui sesuatu yang dicuri atau tempat gelap dan perkara-perkara lain yang seumpama keduanya.

    Yang sedemikian itu ada dijelaskan oleh Imam al-Khaththabi Rahimahullah di dalam kitab Ma‘alim as-Sunan (syarah Sunan Abu Daud).

    Pada akhir kitab tersebut disebutkannya bahawa maksud al-Kahin ialah seseorang yang mendakwa dapat membaca mengenai alam ghaib dan mengkhabarkan kepada manusia tentang makhluk dan kejadian. Dari kalangan orang Arab, dukun mendakwa bahawa mereka mengetahui banyak perkara.

    Ada antara mereka yang mendakwa mempunyai sahabat dari kalangan jin yang boleh menyampaikan perkhabaran (ilmu ghaib) kepada mereka. Ada antara mereka pula yang mendakwa mendapat perkara-perkara (ghaib atau rahsia) melalui kefahaman yang dikurniakan kepadanya.

    Ada pula antara mereka ini yang dinamakan tukang tilik iaitu orang yang mendakwa bahawa dia mengetahui perkara-perkara ghaib dengan perantaraan tanda-tanda tertentu bagi mengetahui kedudukan atau letaknya seperti sesuatu yang dicuri dan dia mengetahui yang tersangka untuk mencuri dan yang seumpamanya.

    Dan ahli nujum juga turut termasuk dalam maksud dukun. Hadits mengenai larangan mendatangi dukun merangkumi semua yang disebutkan iaitu dukun, tukang tilik, ahli nujum dan yang seumpamanya, serta larangan mempercayai apa yang mereka sampaikan.

    b. Diriwayatkan daripada Safiyyah Radhiallahu ‘anha, daripada sebahagian isteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Sesiapa yang mendatangi tukang tilik dan menanyakannya tentang sesuatu, maka tidak diterima sembahyangnya selama 40 malam.

    (Hadits riwayat Muslim)

    Berkata Imam al-Khaththabi Rahimahullah dan yang lainnya: Adapun ‘tidak diterima sembahyangnya’ bermaksud tiada pahala baginya dalam sembahyang yang dilakukan walaupun ia sudah mencukupi untuk menggugurkan kewajipan fardhu ke atasnya dan dia tidak perlu untuk mengulang sembahyang (yang tidak diterima pahalanya itu).

    Pengetahuan Tentang Perkara Ghaib: Hak Mutlak Allah Subhanahu wa Ta‘ala

    Perkara ghaib dibahagikan kepada dua kategori:

    Pertama: Sesuatu yang boleh diketahui menerusi pelbagai cara yang biasa dilakukan seperti menerusi kajian dan penyelidikan ataupun pencarian.

    Perkara ghaib daripada kategori ini adalah perkara biasa dan tidak menjadi sesuatu yang menghairankan jika ada orang yang mendakwa mengetahuinya, bahkan ada di antaranya yang dituntut oleh agama agar disingkap dan diketahui.

    Sebagai contoh, keghaiban seseorang dapat diketahui dan diusahakan penemuannya menerusi pencarian, demikian juga rahsia alam semesta yang disuruh kepada kita untuk memikirkanya dapat disingkap melalui hasil kajian dan penyelidikan para saintis.

    Sesuatu yang belum diketahui atau yang masih ghaib, kemudian ada yang mendakwa mengetahuinya setelah membuat kajian dan penyelidikan mengenainya, maka perbuatan itu tidaklah merosakkan aqidah.

    Tetapi hendaklah diingat bahawa pengetahuan mengenainya hanyalah dalam batas-batas yang terhad mengikut kadar pengetahuan manusia itu saja, kerana Al-Qur’an telah memaklumkan bahawa ilmu yang diberikan Allah kepada manusia itu hanyalah sedikit sekali. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Nabi Muhammad) tentang roh. Katakanlah: “Roh itu adalah daripada urusan Tuhanku dan kamu tidak dikurniakan ilmu pengetahuan melainkan hanya sedikit sahaja.

    (Surah al-Israa’: 85)

    Oleh itu, kita mestilah tetap beranggapan dan berakidah bahawa pengetahuan atau dakwaan seseorang mengetahui yang ghaib daripada kategori ini tidaklah lengkap dan sempurna sebagaimana lengkap dan sempurnanya pengetahuan Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengenainya.

    Kedua: Sesuatu yang hanya boleh diketahui menerusi cara khas atau perkhabaran yang benar seperti menerusi wahyu.

    Perkara ghaib daripada kategori ini hanya dapat diketahui menerusi pemberitaan yang benar dan pasti iaitu melalui wahyu (pemberitahuan) daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Ia berkait rapat dengan aqidah seperti keghaiban syurga, neraka, hari kiamat dan yang lain-lain.

    Perkara-perkara ghaib ini tidak terhingga banyaknya, antaranya ada yang langsung tidak diketahui oleh manusia dan ada yang namanya saja diketahui, tetapi hakikat dan perinciannya tidak diketahui seperti al-Kursiy, Lauh Mahfuzh dan yang seumpamanya.

    Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Dan di sisi Allah jualah kunci-kunci perbendaharaan (perkara-perkara) yang ghaib, tidak ada sesiapa pun yang mengetahuinya melainkan Dia. Dia mengetahui apa yang ada di darat dan yang di laut.

    Dan tidak sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya dan tidak sebutir biji pun yang berada dalam kegelapan bumi dan tidak (pula) sesuatu yang basah dan tidak (juga) yang kering melainkan (semuanya bertulis) di dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh).

    (Surah al-An‘am: 59)

    Yang jelas, mengetahui perkara-perkara ghaib itu merupakan hak mutlak Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Sesiapapun hatta para rasul, para nabi apalagi manusia biasa tidak berupaya mengetahui perkara-perkara ghaib ini. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi yang tafsirnya:

    Dia yang mengetahui segala yang ghaib tetapi Dia tidak menzahirkan pengetahuan ghaibNya itu kepada sesiapa pun. Melainkan kepada rasul yang diredhaiNya maka sesungguhnya dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat-malaikat) di hadapan dan di belakangnya.

    (Surah al-Jin: 26-27)

    Disebutkan di dalam Tafsir al-Qurtubi: Ulama Rahimahumullah berkata: Tatkala Allah Ta’ala bermegah dengan ilmu ghaib dan Dia hanya mengkhususkan dan memilihnya untukNya saja tanpa ada pilihan lain, maka di dalam ayat itu terdapat petunjuk bahawa tidak ada sesiapa pun yang mengetahui yang ghaib melainkan Dia saja. Kemudian Allah mengecualikan orang-orang tertentu dari kalangan Rasul yang diredaiNya lalu melimpahkan sesetengah yang dikehendakiNya dari ilmu ghaibnya itu menerusi wahyu kepada mereka dan menjadikannya sebagai mu‘jizat dan bukti kebenaran kenabian mereka itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda