Larangan mercun masih berkuat kuasa

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba dalam beberapa hari lagi, orang ramai diingatkan bahawa memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga api yang diharamkan masih berkuat kuasa.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) selaku Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Haji Mohd Hassan bin Pehin Penyurat Haji Ahmad (gambar bawah) membuat peringatan berkenaan semasa sidang media yang berlangsung di Bangunan CID, Ibu Pejabat Polis, Gadong, hari ini.

Peringatan berkenaan dibuat berikutan beberapa aduan yang diterima di mana terdapat segelintir orang ramai didapati bermain mercun dan juga didapati penjualan bunga api melalui Facebook dan WhatsApp sebagai medium untuk menjalankan perniagaan dan tidak mematuhi larangan sepertimana yang telah ditetapkan.

Oleh itu, beliau menekankan kepada orang ramai, sepertimana Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Negara Brunei Darussalam, Penggal 58 iaitu sekatan mengimport mercun, bunga api dan sebagainya menyebutkan sesiapa sahaja tidak boleh mengimport, membuat, menjual atau memiliki apa-apa mercun atau bunga api atau yang mengandungi bahan letupan atau campuran bahan letupan.

Sesiapa yang didapati melanggar undang-undang tersebut boleh didakwa dan dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta hukuman tiga kali sebatan dan tidak melebihi 12 kali sebatan.

Manakala itu, bagi hukuman mengikut Peraturan 17 (2), Akta Senjata Api dan Bahan Letupan menyatakan mana-mana orang yang melanggar Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan adalah bersalah kerana melakukan satu kesalahan dan jika sabit akan dikenakan denda $3,000.

Mengikut Seksyen 6, Undang-undang Kesalahan Kecil, Penggal 30 pula menyatakan mana-mana orang yang menyalakan atau membakar apa-apa bahan api hingga menyebabkan gangguan, kesulitan atau menimbulkan bahaya kepada orang awam atau melepaskan apa-apa belon api atau roket di mana-mana jalan awam adalah bersalah dan boleh dihukum denda $250.

Tujuan larangan tersebut menjurus kepada kemaslahatan orang awam kerana jika ia diingkari maka boleh mengundang bahaya bukan sahaja kepada mereka yang bermain tetapi juga kepada orang lain kerana api yang dihasilkan daripada bahan bunga api boleh mendatangkan kecederaan kepada tubuh badan, kerosakan kepada harta benda dan kebakaran.