Baru-baru ini, ketika saya dalam perjalanan menuju ke Bandarku Ceria, saya dapati sebuah trak dipandu melebihi had kelajuan ditetapkan di kawasan Beribi-Jangsak.
Pada mulanya, saya hanya mengendahkan trak tersebut kerana menganggap berkemungkinan pemandu cuba mengelakkan daripada kesesakan lalu lintas dan keadaan jalan ketika itu pula agak lengang.
Bagaimanapun secara tiba-tiba, ia menarik perhatian saya kerana barang-barang muatan yang dibawa oleh trak tersebut terjatuh sepanjang jalan sehingga memerlukan saya mengelaknya kerana agak membahayakan.
Ternyata barang-barang yang jatuh itu merupakan sampah sarap dan lebih mengejutkan saya sampah-sarap yang dibawa trak itu sebenarnya sudah melebihi had muatan meskipun sudah diikat dengan rambat.
Lalu terdetik di fikiran saya, adakah pemandu trak itu memandu dengan laju kerana cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa berikutan sudah melanggar kesalahan membawa barangan melebihi muatan yang ditetapkan.
Kenapa mereka berbuat demikian, meskipun sudah mengetahui prosedur muatan yang dibenarkan? Adakah demi keuntungan atau tidak mahu melakukan perjalanan berulang kali?
Pihak terbabit perlu memikirkan ke-selamatan pengguna jalan raya yang lain, jika sampah-sarap itu jatuh sepanjang jalan menuju ke destinasi dituju tidak mustahil akan mengotorkan jalan raya malah jika barang yang terjatuh itu bukan sesuatu yang kecil dan tidak mudah hancur, akan membahayakan pemandu lain untuk mengelak secara tiba-tiba.
Tidak dinafikan, pihak berkuasa tidak bertugas pada awal pagi dan pihak terbabit telah mengambil kesempatan dalam kesempitan.
Justeru, ada baiknya setiap jalan-jalan di negara ini memasang kamera litar tertutup bagi memudahkan pemantauan kesalahan yang dilakukan oleh pemandu.
Ilham