Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Lari ke ‘Kota Kabus’ Al-namas

    AL-NAMAS, ARAB SAUDI – Ketika Arab Saudi berdepan dengan cuaca yang semakin panas, ada yang melarikan diri ke ‘Kota Kabus’ iaitu sebuah oasis pergunungan yang sejuk di mana baju sejuk diperlukan walaupun pada musim panas.

    Duduk bersama rakan-rakan di atas tikar berkelah, di bawah hujan renyai-renyai dan kabus tebal yang berpusar di Al-Namas, Abdullah Al-Enizi memakai baju sejuk untuk melindungi dirinya daripada udara sejuk.

    Berketinggian 2,800 meter di atas paras laut di selatan Arab Saudi, sangat berbeza dengan bahagian lain di negara padang pasir yang luas dan sebahagian besarnya cuaca musim panas boleh mencecah sehingga 50 darjah Celsius merupakan cabaran tahunan.

    Di Al-Namas, cuaca monsun lembap mengekalkan suhu di bawah 30 darjah Celsius, turun serendah 15 darjah Celsius pada waktu malam, kerana kabus menghalang matahari di atas bukit yang menghijau.

    “Suhu 46 darjah di Riyadh dan hanya 20 darjah di sini, di mana 26 darjah lebih rendah,” kata Al-Enizi di destinasi percutian itu, yang terletak kira-kira 850 kilometer barat daya ibu negara Saudi.

    Orang ramai duduk di sepanjang kawasan di Al-Namas di wilayah Asir Arab Saudi. – AFP

    Kelihatan orang awam berjalan sambil memakai baju hujan di Al-Namas. – AFP

    “Kami lari dari kepanasan. Di sini, cuacanya sejuk dan hujan serta kabus hampir sepanjang masa,” tambah warga Saudi, 45, yang memandu kira-kira 12 jam dari Riyadh.

    Di sekeliling kumpulan rakannya, beberapa buah keluarga menikmati suasana sambil anak-anak mereka berlari-lari menikmati udara segar, dan bukannya berkurung di rumah berhawa dingin seperti biasa dilakukan di tempat lain di negara berkenaan.

    “Sebelum kami datang, kami mengemas semua barang musim sejuk kami!” kata Nouf, yang tidak mahu memberikan nama keluarganya.

    Pihak berkuasa pelancongan telah membina ‘jalan kabus’ untuk pejalan kaki dan penunggang basikal yang merentasi puncak tinggi menghadap ke pergunungan yang diselubungi kabus.

    Khalaf Al-Juheiri mengembara ke Al-Namas bersama isteri dan anak-anaknya dari Tabuk, di utara Arab Saudi, untuk menikmati cuaca yang sejuk.

    “Kami sangat merindui cuaca ini apabila suhu mencecah 40 darjah pada musim panas di Tabuk,” kata penjawat awam berusia 33 tahun itu sambil menutup kepalanya daripada terkena hujan.

    ‘Mari melawat Saudi’
    Pada tahun 2020, kajian yang diterbitkan oleh majalah Science Advances menunjukkan bahawa wilayah Teluk mempunyai iklim yang paling panas dan paling lembap di dunia.

    Kerana pemanasan global, beberapa bandar Teluk boleh menjadi tidak dapat didiami sebelum akhir abad ini, kata pakar.

    Dengan ketinggian dan angin kencang, Al-Namas terhindar daripada cuaca panas yang semakin teruk, kata Hassan Abdullah, pegawai dari syarikat teknologi cuaca WASM yang berpangkalan di Jordan.

    Al-Namas telah menjadi destinasi berharga pada ketika pihak berkuasa Saudi mencari aliran pendapatan baharu selain daripada minyak, yang sedang mempromosikan pelancongan domestik dan antarabangsa.

    Promosi ‘Melawat Saudi’ sedang giat dijalankan hanya tiga tahun selepas visa pelancong pertama kali disediakan untuk pelawat asing pada 2019.

    Ketika tambang kapal terbang meningkat selepas pandemik, keluarga Saudi membelanjakan 80 bilion riyal (kira-kira 21 bilion euro) untuk perjalanan domestik tahun lalu, peningkatan 30 peratus dari tahun 2019, menurut angka yang ditunjukkan oleh kementerian pelancongan.

    “Musim panas adalah musim kemuncak pelancongan, bermula dari Mei hingga Oktober,” kata Abdullah Al-Shahri, seorang pengusaha hotel di Al-Namas di mana suhu musim sejuk kadangkala menjunam ke paras sifar.

    Di puncak bukit yang menghadap ke lembah hijau, Mushabab Al-Omari melihat pemandangan sambil duduk di sebelah isterinya.

    “Saya telah berada di sini hampir tiga bulan, dan saya bersedia untuk tinggal empat atau lima bulan lagi jika cuaca kekal seperti ini,” kata pesara itu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...