Lari semasa sekatan, bawa penemuan barang tegahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Seorang pemandu lelaki berusia 27 tahun dan penumpang wanita berusia 37 tahun telah ditahan apabila didapati melarikan diri semasa operasi sekatan jalan raya yang dijalankan di kawasan Jalan Gadong.

Pemeriksaan ke atas pemandu berkenaan telah membawa kepada penemuan barangan tegahan dipercayai peralatan yang digunakan untuk menghisap dadah, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), hari ini.

Berikutan penahanan dan penemuan tersebut, pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah dihubungi dan siasatan telah diserahkan kepada pihak BKN bagi tindakan selanjutnya.

Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL) itu bertujuan untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap akta kesalahan lalu lintas di samping berperanan dalam menegakkan dan menjalankan undang-undang yang berkaitan dengan sebarang aktiviti jenayah.

Kenyataan menekankan, ia akan sentiasa dijalankan dan dipertingkatkan dalam memberikan kesedaran akan kepentingan pematuhan undang-undang di negara ini yang berkaitan akta lalu lintas ataupun pelanggaran akta-akta kesalahan jenayah.

Peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah. – Gambar serahan PPDB