Larian Bomba 2019 meriah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Lebih 2,000 pengunjung dan peserta berkumpul dari awal pagi lagi untuk sama-sama memeriahkan dan mengambil bahagian dalam Acara Larian Bomba 2019 sempena ulang tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) ke-59, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat acara yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan dan sama-sama menyertai larian Fun Run 3 kilometer ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof selaku pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta kakitangan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), para penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan orang ramai yang sama-sama hadir serta mengikuti acara larian berkenaan. Acara bermula dengan sesi memanaskan badan itu diikuti dengan pelepasan peserta kategori Fun Cycling 12 kilometer dan pelepasan peserta acara Larian Terbuka Lelaki 12 Kilometer serta Larian 12 Terbuka Wanita 12 Kilometer yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib.

Acara larian terbuka kategori lelaki dan wanita disertai seramai 526 orang peserta lelaki dan wanita. Acara diteruskan dengan pelepasan peserta Fun Run 3 kilometer yang turut disertai oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib, yang mana pelepasan bagi peserta lelaki disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Lim Hock Guan.

Pada keseluruhannya, kira-kira 1,800 orang hadir untuk menyertai acara larian Bomba dan Berbasikal Sempena Ulang Tahun JBP kali ini.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bersama-sama peserta dan orang ramai melakukan acara memanaskan badan sebelum acara larian.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib menyempurnakan pelepasan bagi peserta berbasikal 12 kilometer dan peserta Larian Terbuka 12 Kilometer kategori lelaki dan wanita.
Para peserta yang menyertai acara Larian Bomba 2019 yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Pada acara berkenaan juga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada pihak-pihak yang berkepentingan serta menyampaikan hadiah kepada pemenang pencipta pingat, bib dan baju Larian Bomba 2019.

Selain itu, Yang Berhormat Dato juga menyampaikan hadiah pemenang Larian Terbuka 12 Kilometer kategori lelaki dan wanita.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib juga menyempurnakan penyampaian sumbangan $500 dari JBP kepada wakil-wakil dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Pusat SMARTER Brunei dan Persatuan KACA Brunei.

Selain memeriahkan lagi Bandar Seri Begawan dan menyokong inisiatif Program Bandarku Ceria, acara ini juga dihasratkan untuk mengisi masa lapang penggiat aktiviti sukan khususnya sukan larian dan berbasikal dengan aktiviti riadah yang seronok bagi seisi keluarga.

Acara itu juga bertujuan untuk mempromosikan talian kecemasan JBP 995 dan untuk memberigakan keselamatan kebakaran adalah tanggungjawab bersama.

Ia juga diadakan untuk meningkatkan dan memantapkan lagi tahap kesihatan dan kecerdasan warga bomba memandangkan pada masa ini, tugas JBP semakin mencabar dan memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk meningkatkan amalan hidup sihat melalui kegiatan beriadah dan sukan.

Beberapa acara sampingan juga diadakan dan dibukakan bagi penyertaan kepada orang ramai seperti pameran keselamatan kebakaran, pameran produk-produk daripada beberapa pihak yang berkepentingan yang berkenaan.

Orang ramai juga berkesempatan untuk mencuba beberapa aktiviti dan pertandingan kebombaan untuk memberikan pendedahan mengenai tugas bomba dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.

Selain memahami fungsi dan peranan JBP bagi mencapai komuniti di negara ini, acara ini juga menyokong sosioekonomi pedagang dalam menjadikan Program Bandarku Ceria lebih meriah dengan kehadiran orang ramai ke Bandar Seri Begawan.

Ia juga selaras dengan inisiatif KHEDN, menjalinkan persaudaraan yang kohesif di kalangan anggota bomba di seluruh negara untuk mencapai operasi gabungan yang lebih baik bagi kecemerlangan operasi dan kualiti jabatan serta menambah dana Persatuan Bomba Brunei melalui pendaftaran Larian Bomba bagi menjana kebajikan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat.