Larian Bomba 2019 pada 15 September

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Para penggemar acara larian kini boleh mengambil bahagian dalam acara larian yang dinanti-nantikan iaitu Larian Bomba 2019 (Firefighter Run 2019) bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) ke-59 yang akan berlangsung pada 15 September nanti di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan bermula pukul 6 pagi.

Menurut JBP, acara larian anjuran jabatan berkenaan itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu acara berbasikal sejauh 12 kilometer (Fun Cycle), acara larian sejauh 12 kilometer terbuka lelaki dan wanita serta acara Fun Run sejauh 3 kilometer.

Bagi kategori larian 12 kilometer lelaki dan wanita terbuka, para pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai iaitu $300 bagi tempat pertama, $200 bagi tempat kedua dan $100 bagi tempat ketiga.

Pihak JBP menyatakan bahawa bagi mereka yang membuat pendaftaran awal iaitu bermula 12 Jun hingga 30 Jun, akan diberikan kadar yuran penyertaan istimewa iaitu $21 bagi bagi kategori Fun Run 3 Kilometer dan Fun Cycle 12 Kilometer sebanyak sementara itu, Kategori Larian Terbuka Lelaki dan Wanita 12 Kilometer ialah $25.

Manakala itu, bagi penyertaan 1 Julai hingga 7 Julai, mereka akan dikenakan kadar yuran penyertaan yang normal iaitu $23 bagi kategori Fun Run dan Fun Cycle 12 Kilometer sebanyak serta $27 bagi Kategori Larian Terbuka Lelaki dan Wanita 12 Kilometer.

Larian itu diharap dapat merapatkan lagi hubungan bersama orang awam dan juga meningkatkan tahap kesihatan serta kecergasan dalam kegiatan bersukan.

JBP berharap orang ramai akan sama-sama menyertai dan menjayakan acara itu serta sekali gus menyokong inisiatif jabatan itu untuk mendekati masyarakat dan mengekalkan hubungan kerjasama antara kedua-dua belah pihak.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai acara berkenaan boleh mendaftar terus di Dewan Serba Guna JBP di Jalan Landasan Terbang Lama Berakas bagi Daerah Brunei dan

Muara manakala itu, bagi Daerah Belait di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Belait, Jalan Maulana; bagi Daerah Tutong di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Tutong dan bagi Daerah Temburong di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Bangar, Temburong.

Kaunter pendaftaran bagi acara larian berkenaan dibuka setiap hari kecuali Jumaat di mana ia dibuka dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan dari pukul 2 petang hingga 4 petang.