Larian Cuaca Amal 20 Ogos

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dengan kerjasama Unit Pendidikan Khas akan mengadakan Larian Cuaca Amal untuk mengumpul dana bagi membantu para pelajar berkeperluan khas dalam sumber pembelajaran dan peralatan khas yang mereka perlukan.

Acara amal yang akan berlangsung semasa Program Bandarku Ceria pada 20 Ogos dan bermula dari Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat berterusan BDMD sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang awam terhadap cuaca dan iklim serta keperluan para pelajar berkeperluan khas.

Tiga kategori yang dipertandingkan ialah 3 km Stratocumulus Fun Run, 5 km Altostratus Fun Run dan 12 km Competitive Cirrocumulus Run masing-masing dengan yuran penyertaan $25, $30 dan $35. Kategori ini diberi nama yang unik bersempena nama-nama awan mengikut ketinggian aras awan di atmosfera.

Para pegawai BDMD bersama para pegawai Unit Pendidikan Khas semasa melawat salah sebuah sekolah model inklusif bagi para pelajar berkeperluan khas iaitu Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali.
Para pegawai BDMD bersama para pegawai Unit Pendidikan Khas semasa melawat salah sebuah sekolah model inklusif bagi para pelajar berkeperluan khas iaitu Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali.

Promosi aplikasi bimbit BruneiWX yang telah dikemaskini juga akan menjadi sebahagian daripada acara tersebut.

Orang ramai juga berpeluang untuk memenangi hadiah hebat dengan menyertai kuiz terbuka dan berseronok mengambil gambar di pondok bergambar yang disediakan pada hari tersebut.

Orang ramai bolehlah mendaftar untuk menyertai larian amal ini dengan melayari media sosial Facebook Page Charity Weather Run serta Instagram @Charityweatherrun. Pendaftaran dibuka sehingga 1 Ogos. Semua peserta yang mengambil bahagian akan mendapat baju dri-fit, bib larian dan juga pingat.