Larian Hari Kebangsaan 17 Mac

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan- Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-35, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan menganjurkan Larian Hari Kebangsaan ke-35 secara serentak di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien bagi Daerah Brunei dan Muara, dan Kompleks Sukan Batu Apoi bagi Daerah Temburong pada 17 Mac nanti.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KKBS hari ini, sebanyak enam kategori akan dipertandingkan bagi acara larian yang diadakan di Daerah Brunei dan Muara iaitu Kategori Terbuka Lelaki, Kategori Terbuka Wanita, Kategori Veteran Lelaki, Kategori Veteran Wanita, Kategori Remaja Lelaki 16 Tahun ke Bawah, Kategori Remaja Perempuan 16 Tahun ke Bawah dengan jarak larian sejauh 10 kilometer.

Sementara itu Kategori Fun Run Terbuka turut dibukakan dengan jarak larian sejauh 4 kilometer. Kenyataan menambah, bagi Daerah Temburong pula, hanya Kategori Fun Run Terbuka sejauh 4 kilometer saja akan dibukakan pada hari tersebut.

Para peserta larian akan berpeluang memenangi hadiah berupa wang tunai sebanyak $500 bagi pemenang pertama, diikuti pemenang kedua $400 dan $300 bagi pemenang ketiga berserta pingat bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Manakala pemenang di tempat keempat dan kelima masing-masing akan menerima wang tunai sebanyak $200 dan $100.

Acara larian tersebut adalah dibukakan kepada seluruh rakyat dan penduduk tetap di Negara Brunei Darussalam termasuklah warganegara asing yang memegang kad pintar berwarna ungu dan hijau.

Bagi peserta yang berminat, yuran penyertaan akan dikenakan bagi setiap seorang dan hanya dibenarkan menyertai satu kategori sahaja.

Menurut kenyataan lagi pendaftaran akan mula dibukakan esok, 22 Januari hingga 28 Februari depan, di mana borang penyertaan hendaklah diperoleh dan dikembalikan semula dengan lengkap bersama yuran penyertaan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas atau Jabatan Belia dan Sukan (JBS) cawangan daerah-daerah pada waktu bekerja sahaja tidak lewat 28 Februari sebelum jam 3:30 petang.

Sementara itu, pengagihan baju-T dan nombor bib akan diadakan pada 13 dan 14 Mac depan bermula jam 9 pagi hingga 3:30 petang di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas; Kompleks Sukan Mumong; Kompleks Sukan Tutong dan Kompleks Sukan Batu Apoi, Temburong.

Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin mendapatkan maklumat lanjut, bolehlah menghubungi Urus Setia Larian Hari Kebangsaan Ke-35, Bahagian Sukan, JBS di talian 2382911/2381914 sambungan 1616/1632; 3340958 bagi JBS Cawangan Daerah Belait; 4260118 bagi JBS Cawangan Daerah Tutong dan 5221718 bagi JBS Cawangan Daerah Temburong.