Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Larian Hutan pupuk cintakan alam semulajadi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Seramai kira-kira 250 peserta telah mengambil bahagian dalam acara Larian Hutan 2024 (Forest Run 2024) anjuran Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan syarikat TN9 Event and Apparel yang berlangsung di Taman Rekreasi Hutan Berakas, Mukim Berakas, pagi tadi.

    Larian yang diadakan bersempena Hari Hutan Antarabangsa berkenaan turut disertai oleh Menteri KSSUP, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Turut hadir pada acara berkenaan ialah Setiausaha Tetap, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Haji Yusree bin Haji Junaidi dan Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim; ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan dari KSSUP serta orang awam.

    Acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan dan diikuti dengan pelepasan acara larian mengikuti kategori yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf iaitu kategori 4KM Race, Walk & Hike dan 3KM Walk & Hike.

    Dalam memeriahkan lagi acara berkenaan, Jabatan Perhutanan turut mengadakan beberapa pameran mengenai industri perkayuan, pengurusan hidupan liar, mengenai penguatkuasaan undang-undang, taman-taman rekreasi hutan dan maklumat mengenai aktiviti-aktiviti pemulihan hutan serta inisiatif menangani perubahan iklim.

    Selain itu, beberapa pameran yang berunsurkan kebudayaan dan cara hidup yang berunsurkan alami dan hutan turut diadakan oleh Pakatan Sang Jati Dusun dan Persatuan Murut.

    Tujuan larian berkenaan diadakan adalah untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai kepentingan sumber alam, pemuliharaan hutan dan memupuk semangat cintakan alam semula jadi serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

    Penglibatan masyarakat dalam insiatif seperti itu amat penting untuk memastikan kejayaan dalam melindungi khazanah alam semula jadi, di samping memperkukuh kesedaran bahawa tanggung jawab menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf hadir bagi menyempurnakan acara berkenaan.
    Atas & Bawah: Antara pelepasan acara larian mengikut kategori.

    Atas & Bawah: Sebahagian daripada peserta yang menyertai acara berkenaan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf menyertai acara berkenaan.

      sebahagian daripada pameran yang diadakan. – GAMBAR- GAMBARAN DARI MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda