Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan menganjurkan Larian Hari Keputeraan 2017 serentak di ke empat-empat daerah pada hari Ahad, 24 September 2017 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 Tahun.
Acara larian akan diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien bagi Daerah Brunei dan Muara, Taman Persiaran Jalan Sungai Kuala Belait bagi Daerah Belait, Kompleks Sukan Tutong bagi Daerah Tutong dan Kompleks Sukan Temburong bagi Daerah Temburong.
Bagi Daerah Brunei dan Muara, sebanyak dua kategori pertandingan disediakan iaitu Kategori Terbuka Lelaki dan Kategori Terbuka Wanita dengan jarak 10 kilometer. Manakala Kategori Terbuka Fun Run pula sejauh empat kilometer.
Sementara bagi Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Temburong pula, hanya Kategori Terbuka Fun Run sejauh tiga kilometer disediakan.
Hadiah-hadiah yang akan disediakan bagi dua kategori pertandingan Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita tersebut adalah pemenang pertama, kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai $500, $400 dan $300 serta pingat. Manakala pemenang tempat keempat dan kelima masing-masing menerima wang tunai $200 dan $100.
Acara larian ini akan dibukakan penyertaannya kepada semua rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam serta warganegara asing yang memegang kad pintar berwarna ungu dan hijau yang bekerja dan bermastautin di negara ini dengan yuran penyertaan sebanyak $15 setiap seorang.
Pendaftaran larian mula dibukakan pada 11 hingga 16 September 2017 (hari bekerja) bermula pukul 9 pagi hingga 11:30 pagi dan 2 petang hingga 5 petang. Borang penyertaan bolehlah didapati di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) cawangan daerah-daerah.
Borang yang lengkap diisi beserta yuran pendaftaran hendaklah dikembalikan tidak lewat 16 September 2017 sebelum pukul 5 petang di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan cawangan JBS di daerah-daerah pada hari dan waktu bekerja sahaja.
Sementara pengambilan baju-T dan nombor bib bagi larian tersebut akan diadakan pada hari Sabtu, 23 September 2017 pukul 2 hingga 5 petang bertempat di Bilik Pentadbiran, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas bagi Daerah Brunei dan Muara dan cawangan JBS di daerah-daerah.
Bagi sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, sila hubungi Urus Setia Larian Hari Keputeraan 2017, Bahagian Sukan, Jabatan Belia dan Sukan di talian 2381903/4/5 sambungan 1616/1630/1633.