‘Larian obor Olimpik tidak lalui jalan awam’

TOKYO, 7 APRIL – Larian obor Olimpik tidak akan menggunakan laluan awam di sepanjang wilayah Osaka, Jepun, kata gabenor hari ini, selepas lonjakan kes virus di negara itu mendorong para pegawai untuk mengisytiharkan darurat perubatan.

Keputusan untuk mengadakan larian obor tersebut tanpa kehadiran penonton dikuat kuasakan di bandar Osaka, tetapi pengumuman hari ini diperluaskan lagi ke seluruh wilayah.

“Hari ini, kami memutuskan untuk meminta penduduk di seluruh wilayah Osaka untuk mengelak daripada membuat perjalanan tidak penting, jadi kami akan membatalkan larian obor di jalan raya umum di wilayah ini,” kata gabenor wilayah Hirofumi Yoshimura kepada wartawan.

Penganjur Tokyo 2020 berkata lewat hari ini bahawa mereka akan ‘mengatur program larian Osaka untuk dijalankan di Expo ’70 Commemorative Park.’

Jelas penganjur lagi, mereka akan melaksanakan semua langkah yang diperlukan untuk memastikan persekitaran yang selamat bagi semua pembawa obor yang terlibat tanpa kehadiran penonton Larian Obor Olimpik bermula pada 25 Mac di Fukushima dan akan melalui wilayah Osaka pada 13 dan 14 April.

Upacara pelancaran larian tersebut diadakan tanpa penonton berikutan dengan kebimbangan virus.

Yoshimura mengatakan adalah tidak wajar untuk mengadakan acara tersebut di jalan raya awam di wilayah Osaka kerana sebilangan besar penduduk akan berkumpul bagi menyaksikannya.

“Larian obor mendorong orang ramai untuk keluar bagi menyaksikan acara itu walaupun kita telah mengambil langkah tertentu,” katanya.

Keputusan itu diambil ketika wilayah Osaka mengisytiharkan keadaan darurat perubatan, dengan peningkatan jangkitan yang menyebabkan tekanan kesihatan tempatan meningkat. – AFP

Pejalan kaki berjalan melewati sepanduk rasmi Sukan Olimpik Tokyo 2020 di bangunan kerajaan metropolitan Tokyo, kelmarin. – AFP