Larian secara maya sokong pengawalan COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Orang ramai khususnya para penggemar acara larian dialu-alukan untuk menyertai acara larian secara maya Brunei: Run Happy dimana ia merupakan inisiatif AKIF Event dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Brunei bersempena dengan Festival Disember Brunei 2021.

Pengurus Strategi dan Pemasaran, AKIF Event, Pengiran Danny bin Pengiran Tajuddin berkata “Walaupun kita menghadapi cabaran COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan fizikal masyarakat adalah penting. Dengan acara larian maya seumpama ini, ia membolehkan peserta melakukan dengan cara yang selamat sama ada di rumah atau di luar mengikut SOP bersukan yang ada pada masa ini.”

Beliau juga menambah “Melalui inovasi dan teknologi yang ada pada hari ini, para peserta boleh berhubung dan menggalakkan satu sama lain untuk terus bergerak dan kekal sihat.”

Acara larian secara maya ini membolehkan peserta menjalankan aktiviti bersenam mengikut masa dan tempat yang bersesuaian, tanpa perlu berkumpul di satu tempat seperti acara fizikal.

Seperti 2020, Brunei Run diadakan bersempena Hari AIDS Sedunia bagi meningkatan pengetahuan dan kesedaran mengenai virus HIV dan AIDS.

Peserta perlu merekodkan jarak aktiviti dalam beberapa sesi melalui aplikasi telefon bimbit dan kemudian di hantar kepada penganjur acara bagi menandakan penamatan aktiviti mengikut kategori yang di pilih.

Brunei: Run Happy menawarkan empat kategori iaitu maraton penuh sejauh 42km, separa maraton sejauh 21km, larian 10km dan larian 5km. Para peserta mempunyai 45 hari untuk melengkapkan larian yang dipilih bagi semua kategori. Semua peserta yang menamatkan aktiviti larian akan menerima Pek Larian termasuk baju sukan, medal penamat dan lain-lain. Sesi penerimaan Pek Larian akan diadakan pada akhir Januari 2022.