Larian Varisiti sempena hari Keputeraan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Kira-kira 1,000 orang peserta berkumpul dan mengambil bahagian dalam acara larian sambil beramal, Larian Varsiti 2021 yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Larian amal itu dianjurkan bersama oleh Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75.

Acara larian amal berkenaan bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dengan diikuti oleh taklimat keselamatan, memanaskan badan serta pelepasan peserta bagi dua kategori larian. Hadir untuk sama-sama menyertai acara larian yang disertai oleh kira-kira 1,000 orang peserta terdiri daripada pegawai kanan, pensyarah, kakitangan dan pelajar keempat-empat buah universiti serta orang ramai itu ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz; Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

Acara larian dibahagikan kepada dua kategori iaitu Fun Run/Walk sejauh 2.5 kilometer dan Elite Run sejauh 18.75 kilometer. Pelepasan bagi acara Elite Run disempurnakan oleh Dr Haji Norarfan manakala itu, pelepasan acara Fun Run/Walk disempurnakan bersama oleh Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina dan Profesor Dr Hajah Zohrah. Sebelum acara larian diadakan, sesi pemanasan badan turut diadakan dengan diketuai oleh Dr Haji Adanan.

Larian amal itu bermatlamat untuk mengutip sumbangan bagi meringankan bebanan penduduk Palestin dan juga sebagai acara untuk menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup yang aktif serta sihat.

Kesemua hasil kutipan daripada larian amal berkenaan daripada yuran pendaftaran dan sumbangan derma akan disalurkan pada Tabung Kemanusiaan Palestin.

Acara Larian Varsiti meliputi jarak keseluruhan 75 kilometer iaitu bersamaan dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-75. Untuk menamatkan jarak berkenaan, konsep larian jarak terkumpul dilaksanakan di antara keempat-empat institusi pengajian tinggi berkenaan di mana setiap institusi atau wakil-wakilnya akan berlari sejauh jarak yang sama iaitu 18.75 kilometer mengelilingi laluan menarik Bandarku Ceria di Bandar Seri Begawan.

Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina dan Profesor Dr Hajah Zohrah bersama-sama menyempurnakan pelepasan peserta kategori Fun Run/Walk bagi Larian Varsiti 2021.