Laser grafiti pertama bantu ‘keaslian’ bangunan di Florence

TERPANCAR cahaya panas menghapuskan huruf-huruf hitam di dinding Ponte Vecchio yang bersejarah di Florence, apabila petugas yang dianggap sebagai ‘penyelamat’ menggunakan laser sebagai revolusi baharu terhadap penghapusan grafiti di tapak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) tersebut.

Di sebalik kilauan cahaya barangan kemas di jendela sebuah butik barangan kemas yang tersusun dan terletak di sepanjang jambatan batu zaman pertengahan, terlihat beberapa tulisan di bahagian dindingnya yang dipenuhi dengan tulisan mesej yang ditinggalkan oleh pelancong, sangat menarik perhatian. “Kucing besar saya, saya sayang kamu,” satu tulisan yang tertera, manakala yang lain tertera lakaran jantung dan bunga-bungaan.

Kini, sebuah pasukan kesukarelawan di bandar Tuscan yang dianugerahkan gelaran sebagai ‘Angels of Beauty’ bertekad untuk memulihkan monumen-monumen tersebut bagi mengembalikan lagi kegemilangannya dan terima kasih kepada generasi alat inframerah yang terkini di mana telah disumbangkan oleh pemaju laser Itali, Kumpulan El.En.

“Laser tersebut dapat menghilangkan lukisan grafiti itu tanpa merosakkan batu di belakangnya,” kata Daniela Valentini, yang mengetuai pasukan pemulihan warisan kebudayaan Angels itu kepada media AFP. “Sesetengah grafiti sangat sukar untuk dihilangkan, warna-warna tertentu seperti warna silver dan merah serta ia juga tergantung kepada berapa lama ia sudah berada di situ dan bagaimana batu itu akan menyerap,” jelasnya.

Terdengar bunyi desir tatkala menghilangkan mesej warna putih yang tertera perkataan ‘Saya di sini’ dan dibakar oleh sukarelawan profesional yang berusia 56 tahun dengan mengenakan kaca mata perlindungan dan melakukan tugas dengan bersungguh-sungguh sambil disaksikan oleh beberapa orang pelancong.

Salah seorang petugas sedang menjalankan proses pembersihan dinding bangunan bersejarah itu di Florence dengan menggunakan laser. – AFP

Laser tersebut dapat menghilangkan lukisan grafiti itu tanpa merosakkan batu di belakangnya. – AFP

Alat inframerah terkini ini telah disumbangkan oleh pemaju laser Itali, Kumpulan El.En. – AFP

“Kami telah membersihkan sekitar 28 tapak warisan dunia UNESCO di seluruh dunia,” kata pengurus besar El.En, Paolo Salvadeo kepada media.

Laser ini juga dapat membuang kotoran dari fresco. Syarikat tersebut, yang mengkhususkan dalam merancang dan mengeluarkan laser perubatan dan industri, telah menyumbangkan peralatan itu bagi memulihkan karya seni untuk muzium di seluruh dunia, termasuk MOMA di New York dan juga Vatican.

Vandalisme cinta

Laser itu diberikan kepada sukarelawan di Florence dan merupakan yang pertama dirancang untuk membersihkan dinding dari grafiti dengan cepat. Ia masih merupakan tugasan yang agak panjang malah alat ini dianggarkan bernilai sekitar 70,000 pound, boleh mengambil masa sehingga 20 minit untuk membersihkan dinding seluas 10 sentimeter persegi.

“Lazimnya teknik yang biasa digunakan ialah ‘sand blast’ hanya akan menghilangkan sebahagian kecil permukaan yang dijaga sedangkan laser boleh memulihkan monumen-monumen hebat di bandar tersebut seperti Botticelli dan Michelangelo,” kata Salvadeo.

Seorang pesara, Roberto Lepri sudah dua hari berada di kawasan itu dan melakukan tugasan bersama dengan bekas juruelektrik, yang dilahirkan berdekatan dengan jambatan tersebut, menjalani latihan khas bagi mempersiapkan diri dengan peranan baharunya sebagai pemadam grafiti.

“Kita semua perlu melakukan apa yang kita boleh bagi meng-hentikan lakaran grafiti. Ia akan mengambil masa yang lama, tetapi saya mempunyai banyak masa ketika ini,” jelasnya kepada media.

Laser tersebut yang juga dicuba di Galleria Della Carrozze, bandar Tuscan, akan menjadi senjata petugas itu untuk melakukan proses pembersihan. Satu kawasan di jambatan tersebut telah dibersihkan pada bulan Januari lalu namun gejala tersebut kembali semula, berikutan vandalisme dan situasi itu sangat mengecewakan Valentini.

“Saya ingin anak-anak melihat berapa lama tempoh diperlukan untuk menyuarakan mesej mereka dan berapa banyak masa serta tenaga yang diperlukan untuk menghapuskannya,” katanya.

Tetapi Salvadeo lebih bersimpati kepada mereka yang bertindak tidak baik hanya kerana mereka dilamun cinta.

“Mereka yang jatuh cinta dengan seseorang akan melukis tatu atau melukis di dinding-dinding, kemudian mereka berpisah dan bekas pasangan itu mahu tatu atau lukisan grafiti itu dihilangkan, dari situlah kami mula memainkan peranan,” katanya. – AFP