Tuesday, April 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Latar filem Bond promosi kembara keretapi Maghribi

    BOUARFA – Mantan pekerja jam Swiss mengakui bahawa masa adalah satu elemen yang cukup penting namun turut mengakui bahawa James Bond Oriental Desert Express yang terletak di kawasan terpencil di timur Maghribi tidak mengikut jadual masa yang tetap.

    Kereta api itu, yang terkenal dalam francais filem Bond pada tahun 2015 iaitu Spectre menghantar pelancong di antara bandar Oujda dan bekas bandar perlombongan, Bouarfa di sepanjang padang pasir gurun yang berukuran 350 kilometer.

    “Ia mengambil masa antara lapan ke 12 jam untuk menyempurnakan perjalanan tersebut,” jelas Kunz, 70, yang turut dikenali sebagai Edi dengan memberikan alasan bahawa ribut pasir menjadi punca kepada kelewatan kerap berlaku.

    Keghairahannya terhadap kereta api secara tidak lang-sung membolehkannya untuk memegang jawatan sebagai pemandu kenderaan itu selama 10 tahun selepas melakukan rayuan kepada Pejabat Keretapi Maghribi bagi membenarkan dia untuk membawa pelancong dengan menggunakan keretapi.

    Laluan yang beroperasi di kawasan berdekatan dengan Algeria itu pada asalnya telah dibina hampir 100 tahun yang lalu ketika Maghribi masih di bawah perlindungan Perancis.

    Kereta api yang diusahakan Kunz menghubungkan di antara bandar Oujda dan bekas bandar perlombongan, Bouarfa yang mengambil masa perjalanan selama 12 jam. – AP

    Ia merupakan sebahagian daripada projek utama di mana laluan kereta api Mediterranean-Niger telah menghubungkan kawasan itu sehingga menuju ke kawasan pedalaman Afrika.

    Walaubagaimanapun projek itu tidak bertahan lama malah kawasan kilang di Bouarfa juga terus ditutup sehingga rantau padang pasir dengan landskapnya yang indah ditemui semula oleh Kunz sekaligus dijadikan sebagai lokasi penggambaran Spectre.

    Rakaman dalam filem Bond itu memperlihatkan ejen perisik 007 lakonan Daniel Craig berada dalam keretapi yang melalui suasana gelap di padang pasir.

    Salah satu babak yang menonjol dalam filem itu adalah pada bahagian yang memperlihatkan suasana makan malam di antara Bond dengan seorang wanita lakonan pelakon berasal dari Perancis, Lea Seydoux dan akhirnya diganggu dengan kemunculan penjahat terkemuka, Mr Hinx lakonan ahli gusti profesional, Dave Bautista.

    Adegan yang memperlihatkan pertarungan di antara Bond dan Hinx di atas keretapi itu telah berjaya mendapat pujian di kalangan penganalisis filem.

    Namun hakikatnya kereta api pelancong yang diusahakan oleh Kunz di Maghribi itu tidak semewah sebagaimana yang ditampilkan dalam Spectre.

    Pelancong boleh memilih sama ada ingin duduk di kelas pertama, bahagian yang berhawa dingin dan satu lagi bahagian yang membolehkan penumpang untuk membuka jendela sekali gus menikmati keindahan suasana kawasan sekeliling dan merakamkan gambar.

    Keretapi itu bergerak pada kelajuan 50 kilometer sejam namun ada kalanya ia menurun sehingga kadar 10 kilometer sejam malah lebih teruk lagi apabila ada kalanya ia terpaksa berhenti di pertengahan jalan akibat keadaan pasir yang ada kalanya menghalang laluan trek.

    Pekerja harus melakukan kerja pemindahan pasir sebelum meneruskan perjalanan. – AP
    Adegan yang dipertontonkan dalam francais filem Bond, Spectre secara tidak langsung turut mempromosikan kembara kereta api di Maghribi. – AP

    Ketika laluan berada dalam keadaaan terhalang, pekerja akan berusaha untuk memindahkan pasir tersebut sebelum meneruskan semula perjalanan keretapi.

    “Sesetengah orang memilih untuk membeli kereta mewah namun saya lebih selesa untuk membeli kereta api,” jelas Kunz dengan nada ketawa ketika mengimbas kembali bagaimana dia berjuang untuk mendapatkan keuntungan melalui projek kereta api yang beroperasi di kawasan gurun itu.

    Pada tahun yang baik, dia menjelaskan bahawa sebanyak lima ke enam perjalanan dilakukan di antara Oujda dan Bouarfa.

    Dalam perjalanan menuju ke Bouarfa, laluan pertama yang dilalui adalah merentasi kawasan dataran yang subur dan kemudian melalui terowong Tiouli sehingga menuju ke kawasan gurun padang pasir.

    Sepanjang perjalanan, penumpang juga berpeluang untuk melihat stesen kereta api yang terbengkalai dan pemandangan indah menghala ke arah bekas gereja Roman Katolik yang telah diubah menjadi kelab judo berdekatan dengan masjid.

    Kunz berharap untuk mengubah salah satu stesen yang terbengkalai itu menjadi sebuah restoran namun pada masa ini hidangan makan malam masih dihidangkan di dalam keretapi.

    Cef Aziz menyediakan hidangan tempatan istimewa merangkumi hidangan tajine yang pedas dan teh pudina kepada para pelancong.

    “Kereta api ini adalah sangat penting memandangkan ia membukakan peluang pekerjaan sekali gus turut membantu untuk mempromosikan negara,” jelas Aziz.

    “Pemandangan menghala ke arah gurun padang pasir itu cukup indah,” jelas Mona, salah seorang penumpang yang menetap di Paris. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda