BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) baru-baru ini telah menganjurkan Program Tunas Harapan ke-2 (PTH-2) yang diadakan di Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) yang dikendalikan oleh 27 orang mahasiswa/mahasiswi Tahun 3 fakulti berkenaan.
Program yang disertai oleh 60 orang penuntut Tahun 9 itu dipengerusikan oleh mahasiswa Tahun 3 Program Ijazah Sarjana Muda Sains Kewangan Islam, Awangku Ahmad Shafee Kamal Ariffin bin Pengiran Jarus Kamal Ariffin.
PTH-2 merupakan satu program yang direka khusus oleh FEKIm UNISSA untuk melatih mahasiswa/mahasiswi menjadi tunas belia negara yang akan memimpin negara pada masa hadapan.
Selain itu, program itu juga dihasratkan akan mampu melatih mahasiswa/mahasiswi untuk lebih kreatif dan inovatif dalam mengatur, mengurus, dan menabur khidmat bakti kepada masyarakat setempat yang berlandaskan etika Islam.

Di samping itu, PTH-2 juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa dan mahasiswi serta peserta program tentang pentingnya akhlak dan nilai Islam untuk dihayati dan diamalkan dalam aspek kepimpinan selaras dengan hasrat menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir.
Tambahan itu, PTH-2 juga dilihat sangat efektif untuk membangkitkan rasa kecintaan yang kuat kepada masyarakat dan negara serta meningkatkan keupayaan, keyakinan, dan menguatkan jati diri semua individu yang terlibat.
Program berkenaan diisikan dengan pelbagai bentuk kegiatan yang dimulakan dengan sesi Ta‘aruf (suai kenal), laungan kalimah Allah S.W.T, aktiviti kepimpinan, pembangunan modal insan dan sebagainya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengetua STPRI, Hajah Susilawati binti Dato Paduka Haji Muhammad, Penasihat PTH-2, Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, para pensyarah dan guru-guru dari STPRI.