Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Program Netfit All Stars Netball anjuran Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Brunei (BNA) bermula kelmarin dengan lawatan ke Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) di Jerudong.
Kira-kira 80 orang pelajar dari Tahun 5 hingga 13 telah mengambil bahagian dalam sesi kecergasan yang merupakan sebahagian daripada program tersebut.
“Kami amat berbangga kerana dijemput oleh BNA untuk memperkenalkan program kami ke dalam sistem sekolah di Brunei,” kata pengasas Netfit Netball, Sarah Wall dalam temu bual bersama media.
Program itu dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang memfokuskan kepada latihan khusus dalam serangan, jaringan dan pertahanan.
Program tersebut juga merangkumi sesi perkongsian bagi memberika n peserta semangat serta tidak mudah berputus asa untuk terus mengejar impian menjadi seorang atlet profesional.
“Perbincangan ini adalah salah satu sesi terpenting untuk memastikan mereka bukan sahaja melakukan aksi terbaik tetapi juga menerapkan perkara-perkara penting di dalam minda mereka,” tambah Sarah lagi.
Semasa program tersebut, para peserta juga berpeluang untuk berlatih bersama jurulatih elit khususnya dalam kemahiran serangan, pertahanan dan penjaga gawang.
Program yang diadakan selama sembilan hari itu turut disertai pengasas bersama Kimberlee Green dan tujuh pemain bola jaring profesional dari Australia dan England.
Program tersebut akan diteruskan lagi dengan lawatan ke beberapa buah sekolah di Daerah Belait.
