Latih kemahiran digital perusahaan

KUALA LUMPUR, 25 JAN – The Asia Foundation – dengan sokongan geran bernilai AS$3.3 juta daripada badan filantropi Google, Google.org – akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Penyelaras ASEAN untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME) untuk melatih sehingga 200,000 orang dari kawasan luar bandar dan masyarakat yang kurang berkemampuan.

Fokus program itu adalah untuk menutup jurang digital di seluruh ASEAN, selaras dengan visi yang ditetapkan oleh Agenda Tindakan ACCMSME berdasarkan Digitalisasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana ASEAN melalui Pembangunan Kapasiti.

Di Malaysia, rakan pelaksana terpilih, International Youth Center dan Startup Malaysia, akan menggunakan sebahagian daripada dana tersebut untuk menghasilkan modul latihan literasi digital dengan tujuan untuk melatih 15,000 belia dan pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PKS), dengan 50 peratus daripadanya adalah wanita.

Latihan akan tertumpu pada kemahiran seperti membuat profil dalam talian di platform rangkaian profesional, menjalankan perniagaan dalam talian melalui media sosial dan menggunakan portal pekerjaan untuk meningkatkan kebolehkerjaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, YB Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar yang melancarkan program di Malaysia berkata, “Kerjasama antara ACCMSME dan The Asia Foundation, dengan sokongan Google.org, menyumbang kepada pengembangan kapasiti perusahaan ASEAN dalam digitalisasi dan akan membantu mewujudkan integrasi digital rantau ini seperti yang diharapkan oleh ASEAN Digital Intergration Framework (DIF).”

Presiden The Asia Foundation, David D. Arnold, mengatakan, “Kami berbesar hati dapat mengaktifkan kolaborasi pertama seumpama ini – mengumpulkan kepakaran dan pendekatan daripada sektor kerajaan, perniagaan, dan NGO — untuk membantu merapatkan jurang digital. Di kampung dan di bandar-bandar kecil di rantau ini, pejabat tempatan The Asia Foundation akan memimpin rangkaian komuniti pelatih dan sukarelawan untuk membantu pemilik PKS dan pekerja guna tenaga tidak penuh (underemployed) ke dalam ekonomi digital.” – Bernama