Latih penuntut laksana tanggungjawab

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Rombongan seramai 12 orang telah berlepas ke Malaysia untuk menyertai Program Intelektual Mahabbah Wa Rahmah UNISSA-KL-Terengganu yang berlangsung selama enam hari bermula hari ini hingga 15 September.

Rombongan diketuai oleh Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Hambali bin Haji Jalil berserta tiga orang pegawai dari Jabatan Pengajian Islam serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar kepada rombongan berkenaan ialah Timbalan Rektor UNISSA, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.

Program atas usaha Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UNISSA dengan kerjasama mahasiswa dan mahasiswa itu bermatlamat untuk memperkasakan ilmu dan khidmat sosial kepada masyarakat khususnya dalam membantu golongan berkeperluan seperti anak-anak yatim.

Program itu sangat bertepatan dengan bidang misi dan visi UNISSA ke arah melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berwibawa serta memberikan manfaat kepada mereka untuk menghadapi sasaran masyarakat yang pelbagai.

Ia bertujuan untuk memperkenalkan UNISSA di peringkat serantau dan antarabangsa sebagai institusi pendidikan tinggi Islam tulen, melatih mahasiswa dan mahasiswi bekerja secara berpasukan serta melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan bersesuaian dengan persekitaran, membantu golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim dalam memberikan sumbangan dalam bentuk material dan khidmat masyarakat serta melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berfikiran kreatif dalam mengaplikasikan teori-teori ilmu yang dipelajari untuk disumbangkan kepada masyarakat luar.

Semasa program itu, rombongan juga akan mengadakan lawatan ilmiah dan kerja kemasyarakatan ke Kolej Universiti Islam Selangor, Universiti Islam Sultan Zainal Abidin, Universiti Sains Islam Malaysia, Yayasan Chow Kit, Kuala Lumpur dan Asrama Anak-Anak Yatim Fakir Miskin, Terengganu.

Dr Haji Mohammed Hussain bergambar ramai dengan rombongan yang menyertai Program Intelektual, Mahabbah Wa Rahman UNISSA-KL-TERENGGANU. – Gambar oleh UNISSA