Latih usahawan kuasai inovasi digital

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Malaysia akan menjadi negara Asia pertama, di luar China, yang memulakan Program Latihan Alibaba Netpreneur dari 23 Mac hingga 3 April, yang akan melengkapkan inisiatif Platform Perdagangan Elektronik (eWTP) yang sedang berlangsung di Malaysia.

Naib Presiden Alibaba, Brian Wong, berkata program 10 hari itu akan berlangsung di Ibu Pejabat Alibaba di Hangzhou, China, dikuti program latihan kedua dari 13 hingga 24 April.

Program itu bertujuan untuk membolehkan usahawan Malaysia dan mereka yang mengendalikan perniagaan dalam pasaran Malaysia memanfaatkan inovasi digital bagi mengubah perniagaan dan ekonomi negara, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menerusi perjanjian eWTP dengan Malaysia, Wong berkata Kumpulan Alibaba komited untuk memudahkan pembangunan infrastruktur eTrade dan penggunaan amalan terbaik.

“Program Latihan Alibaba Netpreneur, yang dianjurkan bersama oleh Sekolah Perniagaan Alibaba, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan SME Corporation Malaysia, diprogramkan untuk menampung keperluan yang berbeza bagi perniagaan yang berlainan di Malaysia, ketika mereka menyesuaikan diri dengan ekosistem digital,” kata Wong.

Wong berkata 50 usahawan akan menyertai setiap program latihan.

Ditanya sama ada program latihan akan diteruskan selepas ini, Wong berkata: “Kami komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan perniagaan Malaysia dalam berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik dalam usaha untuk membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (IKS) mendapat manfaat sepenuhnya daripada globalisasi.

“Kami akan terus menyediakan inisiatif latihan dan menjalankan program ini untuk perniagaan Malaysia.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan kami di bawah program eWTP, yang bertujuan untuk menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh usahawan Malaysia, kami akan membantu kedua-dua perniagaan tradisional dan perniagaan digital untuk mengubah cabaran menjadi peluang untuk menggerakkan perniagaan mereka,” kata Wong.

Program Latihan Alibaba Netpreneur, yang bertujuan untuk membolehkan usahawan Malaysia dan mereka yang mengendalikan perniagaan tempatan untuk menerima inovasi digital, dilancarkan oleh Sekolah Perniagaan Alibaba.

“Kami berharap para peserta akan berkongsi pengetahuan yang diperoleh dan pengalaman mereka dengan komuniti perniagaan yang lebih luas di Malaysia dan memberi inspirasi kepada transformasi positif ekonomi negara,” katanya. – Bernama