Latihan berkumpulan Serie A dibenarkan

MILAN, 20 MEI – Pasukan Serie A sudah mendapat lampu hijau untuk memulakan latihan berkumpulan namun mereka harus menunggu sehingga 28 Mei bagi mengetahui sama ada saingan musim ini dapat diteruskan atau tidak.

Menurut Menteri Sukan, Vincenzo Spadafora, pakar sains kerajaan menerima protokol kesihatan yang disemak semula oleh Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC).

“Jawatankuasa Teknikal Saintifik sudah meluluskan protokol FIGC bagi meneruskan latihan berpasukan. Ia adalah satu berita baik, latihan secara beramai-ramai dapat diteruskan,” kata Spadafora.

Beliau berkata, satu pertemuan akan diadakan bersama Presiden FIGC, Gabriele Gravina dan Ketua Lega Serie A, Paolo Dal Pinto pada 28 Mei untuk memutuskan penyambungan liga berkenaan.

“Kita akan membuat keputusan jika dan bila saingan Serie A akan disambung. Paling penting penyambungan semula dengan bertujuan untuk melengkapkan saingan, selepas itu persekutuan bakal memutuskan cara dan format yang akan digunakan,” katanya. – AFP