Latihan bola sepak PIP berjalan lancar

Oleh Sim Y. H. & Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Selepas lebih dari empat bulan penggantungan aktiviti sukan berpasukan di negara ini akibat penularan wabak koronavirus, ahli-ahli Program Pembangunan Akar Umbi, Projek Ikan Pusu (PIP), akhirnya kembali mengadakan sesi latihan pada 4 dan 6 September lalu selepas kerajaan melonggarkan sekatan ke atas sukan berkumpulan.

Sesi latihan berkenaan dijalankan dengan mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) di mana para ahli projek dikehendaki untuk mengimbas kod QR yang disediakan, memeriksa suhu badan serta menggunakan cecair pensanitasi tangan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PIP, di sini, Jurulatih PIP, Haji Omar dipetik menyatakan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan serta mengendalikan latihan secara teratur bagi PIP pada 4 dan 6 September.

Beliau menjelaskan bahawa hanya 15 orang pemain dalam dua kumpulan setiap sesi latihan iaitu dari pukul 4 petang hingga 5 petang dan dari pukul 5 petang hingga 6 petang menyertai sesi latihan bagi pemain bawah 10 tahun dan bawah lapan tahun.

Beliau turut menyatakan bahawa penyertaan bagi sesi latihan adalah terhad kepada 15 orang pemain walaupun program berkenaan mempunyai lebih daripada 500 orang pemain yang mendaftar.

Haji Omar juga menyatakan bahawa setiap jurulatih melaksanakan tugasan mereka dengan baik dan terus mematuhi serta mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan KKBS.

Manakala itu, Pengurus PIP, Cheah Swee Ming menyatakan penghargaan kepada semua jurulatih atas usaha yang dihulurkan oleh mereka serta kepada Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) kerana membenarkan penggunaan padang mereka.

Beliau turut menyatakan bahawa negara berada di tahap keempat pelan de-escalation di mana 15 orang pemain dibenarkan setiap kumpulan untuk menyertai latihan berkenaan.

Beliau berharap di masa akan datang, lebih banyak pemain dapat menyertai latihan berkenaan terutamanya semasa tahap kelima tahap de-escalation.

Para peserta PIP mengadakan semula latihan selepas kira-kira empat bulan terhenti. – Gambar serahan PIP