BEIJING, 7 OGOS – China hari ini bersedia untuk menamatkan latihan ketenteraan terbesar mengelilingi Taiwan yang pernah diadakannya selepas lawatan kontroversi Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi.
Beijing berang tentang kunjungan Pelosi – yang menduduki senarai kedua dalam barisan penggantian kepada jawatan presiden AS – menamatkan beberapa siri perbincangan dan perjanjian kerjasama dengan Washington, terutama mengenai perubahan iklim dan kerjasama pertahanan.
Ia juga telah mengerahkan jet pejuang, kapal perang dan peluru berpandu balistik di sekitar Taiwan dengan tindakan itu disifatkan oleh penganalisis sebagai mengamalkan sekatan dan pencerobohan muktamad.
Latihan bakal ditamatkan hari ini, walaupun Beijing sudah mengumumkan latihan baharu di Laut Kuning, terletak antara China dan semenanjung Korea akan diadakan sehingga 15 Ogos ini. Menteri Pengangkutan Taiwan berkata enam daripada tujuh ‘zon bahaya sementara’, yang diberi amaran oleh China kepada syarikat penerbangan supaya mengelak, berkuat kuasa sehingga tengah hari Ahad, menandakan berakhirnya latihan tersebut.
Ia berkata zon ketujuh, di perairan timur Taiwan, masih berkuat kuasa sehingga Isnin 10 pagi waktu tempatan.
“Penerbangan dan pelayaran boleh disambung semula secara berperingkat,” menurut kenyataan dikeluarkan oleh kementerian. Taipei berkata beberapa laluan masih terkesan di kawasan ketujuh, dan pihak berkuasa akan terus memantau pergerakan kapal.
Awal hari ini, Beijing menjalankan ‘latihan bersepadu di laut dan ruang udara sekitar Taiwan seperti yang dirancang,” menurut kenyataan tentera China. Latihan memfokuskan ‘ujian senjata api di lapangan dan kemampuan serangan udara jarak jauh,” tambah kenyataan.
Kementerian Pertahanan Taiwan turut mengesahkan bahawa China telah mengerahkan ‘pesawat, kapal dan dron’ di sekitar Selat Taiwan, yang disifatkan sebagai ‘simulasi serangan ke atas pulau utama Taiwan dan kapal di perairannya’. – AFP