Latihan olahraga kebangsaan masih menunggu

KUALA LUMPUR, 15 JUN – Skuad olahraga kebangsaan Malaysia dijangka perlu menunggu sehingga Julai untuk memulakan latihan penuh walaupun kerajaan telah memberikan kebenaran bagi kebanyakan aktiviti sukan dan rekreasi bermula hari ini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan.

Buat masa ini Majlis Sukan Negara (MSN) menumpukan dan mengutamakan keselamatan atlet di bawah program ‘Road to Tokyo’ (RTT) dengan menutup fasiliti di Bukit Jalil kepada atlet lain sehingga kem latihan khas itu tamat pada 30 Jun ini.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan MSN dalam masa terdekat untuk membincangkan tarikh sesuai bagi memulakan latihan dan prosedur operasi standard (SOP) yang terlibat.

“Buat masa ini belum mula latihan lagi, mungkin perlu menunggu sehingga kem latihan khas RTT di Bukit Jalil tamat kerana mereka menjalani latihan secara kuarantin. Kita perlu ikuti prosedur yang lengkap termasuk mendapatkan kebenaran kerajaan, terutamanya Majlis Keselamatan Negara untuk memulakan latihan.

“Bagaimanapun, atlet kita tetap meneruskan latihan sendiri di rumah dan kawasan yang bersesuaian di bawah pemantauan jurulatih masing-masing. Jurulatih menghantar laporan latihan kepada saya dan MSN setiap minggu,” katanya kepada Bernama. – Bernama