Latihan penuh menjelang musabaqah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Bagi melancarkan dan memantapkan perjalanan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1440H/2019M yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok, latihan penuh musabaqah berkenaan telah diadakan pagi tadi di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Hadir bagi menyaksikan latihan berkenaan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1440 Hijrah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof selaku pengerusi Jawatankuasa Kerja Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1440H/2019M serta ahli-ahli jawatankuasa kerja yang lain.

Pada tahun ini, seramai 12 orang peserta iaitu lima orang qari dan lima orang qariah yang terpilih di peringkat separuh akhir kebangsaan dan dua orang peserta menunggu (johan qari dan qariah pada tahun 1439H/2018M) akan memperdengarkan bacaan mereka pada musabaqah peringkat akhir kebangsaan tersebut yang membawa tema ‘Memperkasa Pembelajaran Al-Quran’.

Peserta qari yang menyertai pada tahun ini terdiri daripada Haji Awang Muhammad Fikri bin Haji Awang Metussin (johan menunggu), Awang Ahmad Zul-Waqar bin Haji Suhaili, Haji Hazwan bin Haji Salim, Haji Muhammad Albi bin Haji Ibrahim, Awang Muhammad bin Ali dan Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya.

Manakala itu, peserta qariah terdiri daripada Hajah Norfaizah binti Haji Emran (johan menunggu), Hajah Nurul Akmalina binti Haji Yahya, Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki, Dayang Siti Zahrina Binti Abdul Wahab dan Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri.

Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz hadir menyaksikan latihan penuh Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1440H/2019M pagi kelmarin di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas. Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1440 Hijrah. – Gambar oleh Yusrin Junaidi