Latihan perkukuh hubungan tentera

BRISBANE, 6 DIS – Lebih daripada 60 tentera daripada Batalion ke-6 Tentera Australia, Rejimen Diraja Australia dan 55 tentera dari Tentera Darat Diraja Brunei mengambil bahagian dalam latihan bersama di Australia melalui Latihan Mallee Bull untuk kali pertama dalam lebih 10 tahun, justeru mempertingkat hubungan yang kukuh di antara kedua-dua negara dan keupayaan mereka dalam menjalin kerjasama yang lebih erat.

Latihan yang berlangsung selama dua minggu di Berek Gallipoli, Brisbane itu menumpu pada persepaduan latihan dalam persekitaran bandar dengan kenderaan berjentera dan peninjauan.

Tentera berlatih dalam integrasi peralatan tentera Australia dan Brunei, termasuk kenderaan berperisai dan motosikal serta kenderaan udara tanpa kendalian manusia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Brigedier Komander Briged ke-7, Andrew Hocking berkata Latihan Mallee Bull memberikan faedah bersama kepada kedua-dua negara, dengan ikatan erat terjalin dalam tempoh dua minggu lalu di samping belajar di antara satu sama lain.

“Mereka telah berkongsi pengetahuan dan taktik untuk mempertingkat kemahiran utama, mengatasi cabaran operasi bersama tentera daripada beberapa tentera berlainan serta memperkukuh keupayaan mereka untuk bekerjasama di antara satu sama lain mengenai operasi atau latihan akan datang,” kata Brigedier Hocking.

Menurutnya, latihan merupakan peluang besar untuk menjalin hubungan jangka panjang kukuh dengan rakan seangkatan Brunei dengan tujuan mempertingkat keselamatan, kestabilan dan kemakmuran rantau Indo-Pasifik.

“Brunei ialah salah satu rakan bernilai Australia dalam operasi cegah keganasan serantau dan latihan di antara kedua-dua negara menyumbang kepada pengukuhan operasi dalam senario operasi yang menyeluruh,” tambahnya.

Latihan Mallee Bull ialah salah satu daripada beberapa latihan pertahanan dua hala di antara Australia dan Brunei, dengan latihan lain membabitkan tentera laut dan tentera khas.

Latihan Mallee Bull juga diadakan serentak dengan Jawatankuasa Kerja Pertahanan Bersama Australia-Brunei di Brisbane dengan wakil dari kedua-dua negara melawat tentera dan menyaksikan latihan di Berek Gallipoli sebagai sebahagian daripada program yang dianjurkan.

Anggota tentera mengambil bahagian dalam salah satu latihan yang diadakan di Berek Gallipoli, Brisbane.