Latihan sukan balapan dan padang dalam normal baharu

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Sukan bagi balapan dan padang menjadi salah satu sukan terkini yang dibenarkan kembali menjalani sesi latihan di kemudahan sukan luar dengan berpandukan protokol kesihatan dan keselamatan serta garis panduan terkini.

Beberapa atlet negara kelihatan kembali melakukan sesi latihan mereka di Stadium Negara Hassanal Bolkiah hari ini sejak pihak kerajaan memberi kebenaran semula latihan kompetitif.

Seorang jurulatih akan mengawasi sesi latihan sebagai tanda peningkatan kepada aktiviti sukan tersebut.

Dengan negara telah memasuki pelan de-escalation tahap keempat, sebilangan atlet negara telah kembali menjalani latihan ke kemudahan sukan.

Sukan badminton dan karate juga telah kembali semula dengan menyaksikan penyertaan pemain muda.

Latihan bagi sukan balapan dan padang kembali menjalani sesi latihan di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah berikutan kebenaran dari pihak kerajaan dalam pelan de-escalation tahap keempat.

Semua latihan sukan perlu memastikan setiap sesi latihan menjaga penjarakan sosial.

Atlet lawan pedang negara juga telah kembali berlatih tanpa menggunakan pedang melalui latihan berskip dan melompat sebagai rutin yang memfokuskan latihan kaki.

Sukan seni mempertahankan diri juga telah kembali aktif dengan aktiviti latihan seperti sukan tekwando ditambahkan ke dalam senarai yang dibenarkan menjalani latihan di Kompleks Sukan Menglait.

Kelab bola sepak tempatan, DPMM FC juga turut kembali berlatih dalam kumpulan kecil dengan tidak kurang dari lima pemain tanpa menggunakan bola.

Kelab tersebut kembali dalam latihan yang tertumpu kepada larian jarak jauh sebelum meningkatkan ketajaman mereka dalam latihan beberapa minggu akan datang.

Pembukaan semula kemudahan dan kompleks sukan telah membuka jalan untuk peminat sukan golf, boling 10 pin, skuasy, tenis, pingpong dan pool kembali menjalani aktiviti sukan yang mereka minati.

Dengan perlawanan beregu yang kini dibenarkan, kehadiran peminat sukan tenis menyaksikan peningkatan sekitar 30 individu dalam tempoh sebulan di Gelanggang Tenis Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Dalam mematuhi garis panduan kemudahan sukan tertutup, papan tanda langkah pencegahan wabak turut diletakkan di dalam dan luar kompleks.

Individu juga diminta untuk mencatat kehadiran mereka ke dalam buku pendaftaran yang diletakkan di pintu masuk semasa memasuki dan keluar dari kemudahan tersebut.