Latihan uji keberkesanan prosedur

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran, memupuk rasa tanggungjawab dan mengambil berat mengenai aspek-aspek keselamatan kebakaran di premis, Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) mengadakan Latihan Kebakaran dan Pengosongan Bangunan di Bangunan Brunei Gas Carriers (BGC) Jerudong pada 6 Mac lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, JBP, di sini, latihan itu melibatkan seramai 63 orang kakitangan di mana senario latihan adalah kebakaran yang terjadi di sebuah bilik di tingkat dua bangunan itu dengan latihan pengosongan dijalankan di seluruh kawasan bangunan.

Kenyataan turut menyatakan bahawa, latihan yang menyaksikan tunjuk cara penggunaan Fire Hose Reel itu bermatlamat untuk memastikan kesiapsiagaan semua pekerja, menguji kemahiran dengan mengadakan latihan praktikal serta mengesahkan keberkesanan prosedur bagi pengosongan bangunan yang lebih efektif dan bersistematik yang dijalankan oleh pihak JBP dan pihak Syarikat BGC.

JBP menyarankan orang ramai untuk meningkatkan lagi kewaspadaan dan aspek keselamatan supaya terhindar daripada perkara yang tidak diingini berlaku dan sekiranya berlaku sebarang kecemasan hendaklah menghubungi talian kecemasan bomba di talian 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.

Latihan Kebakaran dan Pengosongan Bangunan yang dijalankan di Bangunan BGC, Jerudong, baru-baru ini. – Gambar serahan JBP