Laungan dikir 12 malam berakhir

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Majlis dikir 12 malam berturut-turut di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW berakhir malam ini dengan Majlis Penutup Dikir Syarafil Anam yang diadakan secara dalam talian.

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama rakan-rakan strategik yang terdiri daripada persatuan-persatuan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) merangkumi sektor kemasyarakatan, kebeliaan, kesukanan dan kebudayaan pula antara yang mengadakan Majlis Dikir Syarafil Anam secara dalam talian hari ini.

Majlis disertai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei (RTB) juga telah menganjurkan majlis serupa yang diadakan secara dalam talian dan disiarkan secara langsung di televisyen dan radio.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar yang telah memulakan acara dengan memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Majlis seterusnya diikuti dengan tazkirah bertajuk ‘Kelebihan Berselawat’ disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), KHEU, Awang Mohammad Nasyith bin Superi.

Pada acara itu, laungan Dikir Assalamualaika, Khairuman, Bisyahrin dan Alham Allah telah dibawakan oleh pegawai-pegawai masjid dari beberapa buah masjid di keempat-empat daerah.

Doa Dikir pula dibacakan oleh Pegawai Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, Awang Ahmad Syafiq bin Haji Osman. Sementara itu, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan doa memohon kepada Allah supaya terselamat daripada bala dan segala jenis penyakit dibacakan oleh Pegawai Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Metali Al-Hafiz.

Turut mengadakan majlis penutup dikir pada malam ini adalah Masjid Lambak Berakas, Jalan Pasir Berakas melalui Jawatankuasa Biro Belia. Majlis peringkat belia dan beliawanis masjid berkenaan diadakan secara maya (online) melalui aplikasi Zoom dan juga dibuat secara langsung melalui Facebook Live.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Haji Ahmad. Acara berkenaan telah diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Surah Al-Imran ayat 102 hingga 105 sebelum laungan Dikir Marhaban dan pengumuman pemenang bagi pertandingan video dan audio selawat dan qasidah yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Biro Belia dan Beliawanis Masjid Lambak Berakas.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis dikir secara dalam talian kelmarin.
Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom hadir pada majlis anjuran KHEU dengan kerjasama RTB kelmarin.
Antara belia yang mengambil bahagian dalam majlis diadakan secara maya.