Laungan dikir dalam talian semarak Maulidur Rasul

Oleh Ak Zaki Kasharan, Syahmi Hassan & Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Meskipun penutupan masjid, surau dan balai ibadat disebabkan pandemik COVID-19, Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW tetap disemarakkan dengan laungan selawat dan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW secara dalam talian yang diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini bermula malam tadi.

Sebagai pembukaan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei (RTB) kelmarin telah mengambil inisiatif mengadakan Majlis Pembukaan Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW 1443H/2021M secara dalam talian dan disiarkan secara langsung di semua saluran televisyen serta rangkaian radio Nasional, Nur Islam dan Harmoni FM di RTB.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang seterusnya memulakan acara dengan memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di KHEU, para pengarah dan pegawai-pegawai kanan KHEU.

Majlis diikuti dengan tazkirah bertajuk ‘Kelebihan Berselawat’ disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat majlis pembukaan Dikir Syarafil Anam secara dalam talian yang turut dihadiri oleh Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua. – Gambar serahan KHEU
Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika mengikuti majlis pembukaan dikir bagi peringkat Kementerian Pertahanan dan ABDB secara dalam talian. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama para peserta majlis pembukaan dikir anjuran Jawatankuasa Takmir MRSB.

Pada majlis itu, laungan dikir-dikir telah dibawakan oleh pegawai-pegawai masjid dari Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong, Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Daerah Belait serta Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA’AT) secara bergilir.

Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut mengadakan majlis pembukaan dikir yang dikelolakan oleh JAMA’AT, malam tadi.

Turut memeriahkan majlis tersebut yang diadakan secara serentak di seluruh surau di perkhemahan ABDB ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat; setiausa-ha tetap di Kementerian Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan serta pegawai dan anggota Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Majlis serupa juga telah dikendalikan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB) melalui aplikasi Zoom, kelmarin.

Majlis tersebut disertai oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin berserta 60 orang peserta dari beberapa buah kampung.