Laungan Dikir Maulud bergema

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Meskipun dalam situasi penularan COVID-19 di negara ini, laungan dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW tetap bergema di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara yang dibawakan oleh petugas-petugas pegawai masjid bagi menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW.

Beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat telah mengambil inisiatif mengadakan Dikir Maulud secara dalam talian, kelmarin, dengan menyediakan pautan bagi ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, jemaah, muslimah, belia masjid dan majlis perun-dingan kampung yang sering bersama-sama melaungkan Dikir Maulud setiap kali acara tersebut diadakan pada tahun-tahun sebelumnya.

Antara masjid tersebut ialah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien; Masjid Setia Ali, Pekan Muara; Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong; Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Masjid Kampung Sungai Bunga; Masjid Kampung Belimbing Subok; Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata, Gadong; Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, Gadong; Masjid Kampung Penanjong, Daerah Tutong; Masjid RPN Kampung Pandan, Daerah Belait; Masjid Kampung Selangan dan Masjid Kampung Puni, Daerah Temburong.

Sementara itu, Kumpulan Belia Masjid Daerah Temburong dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong turut mengadakan Majlis seumpamanya.

Majlis dikir tersebut diadakan bagi meraih pahala berlipat ganda serta ganjaran teristimewa dan syafa’at bagi orang-orang yang berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW di samping memohon keberkatan dan rahmat dari Allah SWT.

Selain itu, ia juga memupuk kesedaran dan keinsafan umat Islam dalam mengenang jasa dan pengorbanan Baginda Rasulullah SAW dalam menyebarkan agama Islam.

Majlis dihasratkan untuk mewujudkan perpaduan dan komitmen petugas-petugas pegawai masjid dan orang ramai dalam melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti keagamaan yang dianjurkan sekali gus menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi SAW dengan selawat dan Dikir Maulud.

Antara peserta yang mengambil bahagian dalam Dikir Maulud yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini.