Oleh Yusrin Junaidi & Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Sempena memperingati hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang disambut pada 12 Rabiulawal setiap tahun, Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien sekali gus menandakan bermulanya pembukaan Dikir Syarafil Anam di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bagi tahun 1444H/2022M selama 12 malam berturut-turut mulai malam ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, diikuti dengan tazkirah mengenai kelebihan berselawat disampaikan oleh Mahasiswa Sarjana Perguruan Ugama Kajian Ahli Sunah Wal Jemaah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Khairul Mu’az bin Haji Sibodaud. Acara diteruskan dengan persembahan dikir dan Doa Dikir yang dibacakan Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Khairul Ariffin bin Haji Yusop. Sementara Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dibacakan Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Begawan Mudim Haji Emran bin Haji Mohd Salleh dan diakhiri dengan membaca Selawat Tafrijiyah.
Turut mengadakan majlis Dikir Syarafil Anam ialah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah. Turut hadir ialah Pemangku Menteri di JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu; Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.
Majlis dimulakan dengan solat Fardu Maghrib berjemaah diikuti bacaan Surah Al-Fatihah.
Acara diteruskan dengan bacaan dikir dan diakhiri dengan Dikir Marhaban selepas solat Fardu Isyak.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga mengadakan majlis yang sama secara serentak di semua surau garison, pangkalan dan perkhemahan ABDB dengan tumpuan utama di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison.
Hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pembangunan, Pemeliharaan dan Teknologi) Kementerian Pertahanan, Kolonel (B) Haji Mohammad Norfahssin bin Haji Abdul Karim. Turut hadir ialah pemerintah angkatan bersama, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB.
Majlis dimulakan dengan solat Fardu Maghrib berjemaah diikuti dengan tazkirah, Dikir Syarafil Anam, solat Fardu Isyak dan diakhiri dengan Dikir Marhaban.
Penerbangan Diraja Brunei (RB) juga mengadakan majlis serupa di Kampus RB. Hadir pada majlis itu Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin Haji Abdul Hamid dan kakitangan RB.