Laungan Dikir Maulud mula bergema

Oleh Yusrin Junaidi & Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Laungan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW telah mula bergema di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara, malam tadi, bagi memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW selama 12 malam berturut-turut telah diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini yang sekali gus menandakan bermulanya Dikir Syarafil Anam di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bagi tahun ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Majlis turut isikan dengan ceramah mengenai kelebihan berselawat yang disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Mohd Nasyith bin Superi.

Majlis dikir diadakan untuk menanamkan rasa kasih dan cinta terhadap Rasulullah SAW serta memohon ganjaran teristimewa dan syafaat bagi orang-orang yang berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang mana ia adalah amalan mulia dalam pembentukan jati diri individu Muslim.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan bersama rombongan kementeriannya mengadakan majlis berdikir di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan mengepalai rombongan kementeriannya pada majlis dikir di Masjid Sultan Sharif Ali. – Gambar oleh Muiz Matdani
Pesuruhjaya Polis hadir selaku tetamu kehormat pada pembukaan majlis dikir di Surau Polis Kawalan Diraja.
Pegawai Daerah Belait mengetuai rombongan pada majlis pembukaan dikir 12 malam berturut-turut di Masjid Kampung Sungai Liang.

Penganjuran majlis berkenaan merupakan salah satu syiar dan acara hari-hari kebesaran Islam yang disambut oleh umat Islam di negara ini.

Sementara itu, rombongan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), semalam, telah mengadakan majlis berdikir di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

Rombongan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya pula menghadiri majlis dikir di Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong, hari ini.

Mengepalai rombongan berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria dan pegawai-pegawai kanan serta kakitangan.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pula telah mengadakan majlis pembukaan Dikir Syarafil Anam selama 12 malam berturut-turut di Surau Polis Kawalan Diraja Beribi, malam ini.

Hadir bagi sama-sama menyemarakkan majlis selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, ACP Haji Mohammed Fadzillah bin Haji Ismail dan pengarah-pengarah jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai serta anggota PPDB.

Majlis berkenaan juga diselajurkan dengan bacaan Doa Selamat bagi pemergian perwakilan PPDB yang akan turut serta dalam misi Pasukan Pemantauan Antarabangsa (IMT) ke-17 di Mindanao, Republik Filipina iaitu Penolong Penguasa Polis (ASP) Muhd Ismail bin Abdullah.

Di Daerah Belait, rombongan pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, ahli jawatankuasa kerja sambutan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ahli jawatankuasa takmir masjid dan jemaah-jemaah telah menghadiri Majlis Pembukaan Dikir di Masjid Kampung Sungai Liang, kelmarin.

Rombongan telah diketuai oleh Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku penghulu Mukim Liang dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku ketua Kampung Labi I serta Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Ismail.

Turut menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW dengan majlis dikir ialah Kumpulan Dikir I’badur-Rahman, Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri yang diadakan di masjid berkenaan.

Sementara itu, Kumpulan Wafira mengadakannya di kediaman salah seorang ahlinya, Hajah Halimatul Saadiah binti Haji Bolaji di Kampung Lambak Kanan dan turut dihadiri oleh Penaung Kumpulan Wafira, Hajah Nellie binti Dato Paduka Haji Sunny.