Laungan dikir terus bergema

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Laungan dikir terus berkumandang di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW yang dibawakan oleh petugas-petugas pegawai masjid pada malam ketujuh, semalam.

Beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat telah meneruskan lagi majlis Dikir Maulud secara dalam talian dengan menyediakan pautan bagi ahli jawatankuasa takmir masjid, jemaah, Muslimah, belia masjid dan majlis perundingan kampung.

Antara yang mengadakannya adalah Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan; Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong; Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong; Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Masjid Kampung Pelambayan; Masjid Kampung Kasat; Masjid Kampung Telisai; Masjid Kampung Penanjong; Masjid Kampung Tanjong Maya; Masjid Kampung Sungai Teraban bersama Masjid STKRJ Lorong 3 Seria dan Masjid Kampung Selangan.

Sementara itu, malam ini, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) turut menyerikan majlis iaitu Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Khamis di Masjid Kampung Belimbing

Subok, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman di Masjid Setia Ali, Pekan Muara dan Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu di Masjid RPN Kampung Rataie, Daerah Temburong.

Majlis dikir seumpamanya diadakan bagi meraih pahala berlipat ganda serta ganjaran teristimewa dan syafaat bagi orang-orang yang berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta memohon keberkatan dan rahmat dari Nya jua selain memupuk kesedaran dan keinsafan umat Islam dalam mengenang jasa dan pengorbanan Baginda Rasulullah dalam menyebarkan agama Islam.

Di samping itu, ia dihasratkan untuk mewujudkan perpaduan dan komitmen orang ramai dalam melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti keagamaan yang dianjurkan sekali gus menyemarakkan lagi Sambutan Maulud Nabi dengan selawat dan Dikir Maulud.

Antara yang mengikuti majlid dikir secara maya yang dikendalikan salah sebuah masjid.