Laungan dikir terus bersemarak

Oleh Yusrin Junaidi & Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Laungan dikir dan selawat bagi memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang disambut pada setiap 12 Rabiulawal bergema lagi malam ini di kesemua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara yang akan diteruskan selama 12 malam berturut-turut.

Turut melaungkan dikir di Masjid Tanah Jambu pada malam ini ialah rombongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Majlis Dikir Syarafil Anam itu dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya; Pegawai Hal Ehwal Masjid Kampung Tanah Jambu, Awang Mohd Saifullah bin Rosli; Imam Tingkat 2, Pengiran Haji Rusman bin Pengiran Haji Shahbudin; Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Tanah Jambu, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud dan Pemangku Ketua Kampung Tanah Jambu, Haji Bujang bin Sabtu.

Majlis berdikir itu merupakan aktiviti keagamaan tahunan KKBS sebagai perpaduan dan kekeluargaan warga kementerian bersama penduduk kampung dalam sama-sama menyemarakkan Sambutan Maulidur Rasul, seterusnya menanam perasaan cinta kepada Rasulullah SAW.

Malam tadi, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (DPPMB) turut mengadakan Majlis Dikir Maulud Nabi sempena memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW di kediaman ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) selaku Presiden DPPMB, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Haji Sabli bin Haji Arshad di Tanjung Nangka.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli MMN, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari bersama lebih 100 jemputan lainnya yang antaranya terdiri daripada ahli-ahli DPPMB.

Sementara itu, Kementerian Perhubungan, jabatan-jabatan dan pihak berkuasa di bawahnya juga telah mengadakan Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, malam tadi.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika hadir semasa Majlis Dikir Syarafil Anam bersama rombongan KKBS di Masjid Tanah Jambu.
Haji Azhar bersama rombongan Kementerian Perhubungan ketika hadir pada Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas.
Antara yang ikut serta dalam Majlis Dikir Maulud Nabi sempena memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW anjuran Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei.