Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Pelumba basikal terkenal Malaysia, Laurel Lauridsen Adrian muncul juara kategori Terbuka Lelaki Cabaran MTB Kaka 2023 selepas mencatat masa 58 minit 53.30 saat di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas, kelmarin.
Pelumba berpengalaman Brunei, Muhammad Nurjamri bin Johari dan Muhammad I’maadi bin Abdul Aziz ma-sing-masing menamatkan podium dengan meraih pingat perak dan gangsa.
Muhammad Nurjamri mencatatkan masa 1 jam 3 minit 56.15 saat manakala rakan sepasukannya Muhammad I’maadi mencatat masa 1 jam 4 minit 08.34 saat.
Tiga pelumba terbaik dalam Terbuka Lelaki adalah sama seperti dalam kategori Masters A Lelaki.
Lee Yong Hui memenangi kategori Masters B Lelaki selepas mencatat masa 37 minit 40.01 saat, diikuti Mazran bin Haji Mohammad Jamin di tempat kedua dengan catatan masa 38 minit 20.18 saat, manakala Mohammad Radzi bin Tamat mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 39 minit 19.15 saat.
Sementara itu dalam kategori Terbuka Wanita, Noorfahellnie binti Nordin merangkul tempat pertama dengan catatan masa 33 minit 52.26 saat, diikuti Noorhasniti binti Juin mendapat tempat kedua dengan catatan masa 36 minit 37.92 saat, dan Christina Fah mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 48 minit 27.66 saat.
Acara tersebut diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-77, yang mana acara itu dianjurkan bersama oleh Kelab Berbasikal Kaka dan Kelab Berbasikal MPJ.
Seramai 113 peserta dari Negara Brunei Darussalam, Lawas Sarawak dan Labuan telah mengambil bahagian dalam acara tersebut.
