Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lavezzi nafi rasis selepas gambar cetus kemarahan

    SHANGHAI, 16 Mei – Pemain antarabangsa Argentina Ezequiel Lavezzi mengeluarkan permohonan maaf menerusi kelabnya dari China selepas gambarnya secara terbuka dilihat menyepetkan matanya dengan jari sehingga membangkitkan kemarahan di media sosial.

    Lavezzi yang menyertai pasukan Liga Super China (CSL) Hebei China Fortune tahun lepas dari Paris Saint-Germain, membangkitkan kemarahan pada hujung minggu lalu ketika gambarnya mempamerkan senyuman sambil menarik kelopak matanya ke belakang dengan jari.

    “Kelab tersebut membincangkan perkara ini bersama Lavezzi, yang berkata dia tidak bermaksud melakukan kesilapan perkauman dan memohon maaf bagi sebarang tanggapan yang mengecewakan dilakukannya,” kata kelab itu dalam kenyataan Ahad lalu.

    Episod tersebut menggambarkan pertembungan budaya yang boleh berbangkit ketika pasukan China mengeluarkan bayaran besar terhadap pemain asing. Ia berlaku hanya seminggu selepas penyerang Brazil Hulk dari kelab Shanghai SIPG menafikan dakwaan serangan perkauman ke atas jurulatih pasukan pesaing.

    Pasukan Hebei China Fortune berkata beberapa keping gambar Lavezzi yang diambil awal tahun ini hanya bertujuan sebagai unsur ‘riang’ dan ‘gila-gila’.

    Gambar Lavezzi dari sebuah agensi yang mencetuskan kemarahan peminat bola sepak China di media sosial.
    Gambar Lavezzi dari sebuah agensi yang mencetuskan kemarahan peminat bola sepak China di media social.

    Bagaimanapun pasukan menyatakan tidak tahu mengenai perkara itu dan akan ‘menjadikannya pengajaran’ sambil berikrar untuk menghalang keadaan serupa berlaku lagi.

    Gambar-gambar tersebut mencetuskan kritikan dalam platform Weibo seperti Twitter China, dengan para pengguna yang berang meminta Lavezzi dihukum atau dikeluarkan dari liga.

    “Ini adalah gerak isyarat keji yang melakukan diskriminasi terhadap rakyat China. Keluarkannya dari sini!” kata satu pos.

    Kelab tidak mengumumkan sebarang hukuman bagi Lavezzi. Kenyataan langsung dari pemain juga gagal diperoleh.

    Lavezzi adalah antara beberapa pemain luar yang ditandatangani sejak beberapa tahun oleh kelab China yang berbelanja besar selepas negara itu berikrar untuk menjadi kuasa dunia bola sepak. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda