Law juarai Terbuka Vic

GEELONG, Australia, 10 Feb – David Law dari Scotland mencatatkan satu eagle di lubang terakhir untuk memenangi gelaran pertama Jelajah Eropah hari ini, sementara itu Celine Boutier dari Perancis mencatatkan kejayaannya dalam Jelajah LPGA di Terbuka Vic.

Kejohanan yang diadakan di selatan Melbourne itu adalah satu-satunya pertandingan yang disertai oleh lelaki dan wanita, beraksi dalam kumpulan yang bersilih ganti di padang yang sama.

Ia dianjurkan bersama tahun ini oleh Jelajah Eropah dan Jelajah LPGA Amerika Syarikat (AS) buat pertama kali.

Wade Ormsby dari Australia berada dalam laluan untuk memenangi gelaran lelaki dengan back nine sebelum Law mencatatkan satu eagle pada lubang ke-18 untuk menyamakan kedudukannya.

Pada masa yang sama Ormsby, yang mencatatkan pukulan kukuh sepanjang hari, membuat pukulan pendekatan hambar di lubang ke-17 dan mencatatkan double-bogey.

Kedudukan itu menyaksikannya memerlukan satu eagle di lubang terakhir untuk mengheret pertandingan ke playoff.

Dia memberikan dirinya peluang, tetapi putt lapan meter yang dihasilkannya tersasar dan terpaksa berpuas hati dengan birdie dan terikat bagi kedudukan kedua bersama Brad Kennedy dari Australia.

“Berjalan menuju lubang ke-10 saya menekan butang reset dan cuba untuk terus bertenang,” kata Law, yang meminta penalti terhadap dirinya kerana menggerakkan bola di lubang ke sembilan yang menghasilkan bogey.

“Pada lubang terakhir saya tahu saya memerlukan satu eagle untuk sekurang–kurangnya memaksa pertandingan terheret ke playoff. Saya tidak meminta bagi putt yang lebih mudah dan bernasib baik ia masuk. Saya merasa gembira. Ia adalah pertandingan yang hebat.” – AFP