Wednesday, October 9, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawan pedang dapat sambutan

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Kejohanan Lawan Pedang Terbuka Brunei yang menutup tirainya 14 Januari lalu, menampakkan peningkatan dan sambutan yang memberangsangkan dari dalam dan luar negara termasuk pasukan-pasukan yang berpengalaman dari Malaysia, Indonesia dan China.

    Perkara itu ditegaskan Jurulatih Lawan Pedang Brunei Darussalam, Rocky Poerawinata ketika menyimpulkan mengenai kejohanan tersebut ketika ditemui wartawan Media Permata.

    Menurut beliau, latihan lawan pedang akan dibuat secara berterusan dan menggalakkan penyertaan pelawan pedang tempatan untuk menyertai mana-mana kejohanan baik dalam ataupun luar negara.

    “Kami tidak mahu menghantar atlet yang turun tanpa persiapan dan dengan adanya kejohanan seperti itu, ia akan memberikan pendedahan awal dan masa untuk pihak Persekutuan Lawan Pedang Brunei Darussalam mencari bakat baru bagi penyertaan di peringkat Asia Pasifik di Manila dan Sukan Universiti di Kuala Lumpur nanti,” ujarnya.

    Beliau sangat mengharapkan sokongan dan dorongan semua pihak terutama ibu bapa, kerajaan, dan persatuan dalam memberikan ruang kepada atlet negara membuat persiapan yang jitu lebih awal lagi sebagai proses memperlengkapkan semua atlet bagi kemantapan mereka dalam sukan ini.

    Rocky Poerawinata (kanan) ketika meneliti perlawanan di dalam Kejohanan Lawan Pedang Terbuka Brunei 2018 baru-baru ini. – Gambar oleh BDFF

    “Saya suka melihat penyertaan seawal peringkat lapan tahun untuk berjuang bagi pembangunan sukan lawan pedang negara, manakala dengan adanya penyertaan bawah 14 tahun pula membuktikan kesinambungan menggalakkan dalam sukan ini sebelum melihat potensi mereka di masa akan datang,” kata beliau.

    Apabila ditanya mengenai masa depan atlet selepas lewat usia bagi penyertaan antarabangsa, beliau berkata “Banyak program dibuat dan giat dirancang oleh persekutuan terutama daripada aspek pentadbiran, pengadilan dan pengurusan selain banyak daripada mereka mula membuka kelab dan persatuan baru dalam sukan lawan pedang tempatan”

    Menurutnya lagi, beliau sangat suka melihat persepaduan dan usaha yang keras semua pihak dalam menjayakan kejohanan itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda