Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Lawat safari dalam kereta api ubah suai

    SKUKUZA, AFRIKA SELATAN – Sekumpulan babun mencelah-celah di bawah gerabak sebuah kereta api di atas jambatan. Seekor badak meranduk dalam sungai di bawah, sementara seekor harimau bintang sedang merayau-rayau mencari mangsa, menghidu antelop untuk dijadikan makan malamnya.

    Di tengah Taman Negara Kruger, hutan simpanan hidupan liar paling terkenal di Afrika Selatan, kereta api mewah ini menerima penumpang, namun ia tidak bergerak.

    Diubah menjadi hotel moden, kereta api itu menyediakan pemandangan menyeronokkan di mana pelawat boleh melihat habitat haiwan dan menyaksikan keindahan matahari terbit sehingga senja kala.

    Sebuah platform kecil yang ditambah kepada jambatan menempatkan sebuah kolam kecil, di mana kumpulan pelawat berkumpul pada pukul 4 petang untuk minum teh, dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa musim panas.

    Bunyi berdengus yang kuat melenyapkan kicauan burung. “Ia adalah seekor badak,” kata seorang pelayan, ketika pelawat mendekati pagar, berharap dapat melihatnya dalam Sungai Sabie berlumpur di bawah.

    Dua telinga kelihatan terjulur dari air.

    Pemandangan menyeluruh Taman Negara Kruger. – AFP
    Pelawat menikmati sarapan menghadap hotel Kruger Shalati di Skukuza. – AFP
    Pemandangan hotel Kruger Shalati di Skukuza, Taman Negara Kruger. – AFP
    Kelihatan sebuah gerabak kereta api yang diubah suai di Stesen Kruger di Skukuza, Taman Negara Kruger. – AFP

    “Sungguh comel,” bisik Karen Lane, 56, yang datang dari Johannesburg untuk meraikan ulang tahun perkahwinan ke-30 bersama suaminya Rich.

    “Ia adalah pengalaman yang amat menyeronokkan,” kata Chichi Mudau, wakil jurujual berusia 36 tahun dengan penampilan menarik dan topi jenama Gucci.

    “Tempat ini, perkhidmatan yang tersedia adalah hebat. Seperti impian yang menjadi kenyataan. Saya suka segala-gala mengenainya.”

    Sejurus selepas itu, kumpulan itu meninggalkan kereta api dalam trak safari terbuka untuk melihat dengan lebih dekat zirafah, gajah dan kuda belang dalam habitat semula jadi mereka – memakan rumput, bermain dalam air dan ada kalanya berkelahi.

    Jambatan yang digantung di landskap tenang ini telah terbiar selama beberapa dekad. Hotel itu berjaya memenangi tender pada 2016 untuk mengubahnya kepada penginapan mewah, dengan sebuah kereta api yang tidak pernah bergerak tetapi sentiasa mempunyai pemandangan dari udara.

    Pada tahun 1920, landasan kereta api ini merupakan satu-satunya jalan ke Kruger. Namun lokomotif terakhir melaluinya pada 1979, dan landasan tersebut tidak digunakan lagi.

    “Kami pergi ke kawasan kubur kereta api untuk mencari gerabak,” kata Gavin Ferreira, 39, pengurus eksekutif operasi.

    “Mereka agak usang. Sesetengahnya telah dijarah,” beritahunya kepada AFP.

    Diubahsuai menjadi bilik hotel, gerabak menawarkan ‘kenangan nostalgia,’ ujarnya.

    Berjalan di antara gerabak, kesemua diberikan nombor sehingga 25, tetapi mengikut kepercayaan lama hotel di mana angka 13 tidak dimasukkan.

    Setiap gerabak hanya mempunyai satu bilik, dengan katil besar ditutup dalam cadar bersih dan bantal. Cahaya matahari menyinari menerusi tingkap di atas tab dan singki, membolehkan pelawat merenung sungai ketika memberus gigi. Sehelai jubah mandi sutera tergantung tidak jauh dari singki.

    Di hadapan terletaknya beranda kecil, tetapi jangan lupa untuk menutup pintu.

    “Monyet di sini boleh menjadi agresif,” pelayan mengingatkan, dan haiwan berkenaan boleh menyerbu masuk.

    Apabila primat kecil berkenaan memanjat di jambatan, ia melihat menerusi kaca jendela pada tetamu yang berbaring di atas katil. Haiwan berkenaan nampak comel, tetapi jangan mudah terpedaya.

    Kruger Shalati pada mulanya dijangka dibuka kepada pelawat Barat.

    Namun apabila ia dibuka pada Disember 2020, pandemik menghalang mereka daripada mengadakan perjalanan. Sebaliknya, warga Afrika Selatan membuat tempahan.

    “Bulan-bulan pertama, kami mempunyai tempahan penuh,” kata pengurus Ella West. “Kami memerlukan kadar pelanggan antarabangsa dengan hasrat agar tempat seperti ini dapat meneruskan operasi.”

    Kini kereta api itu menarik lebih ramai pelawat Amerika, perjalanan yang menjadi lebih senang dengan lapangan terbang kecil yang terletak empat kilometer dari tempat itu, katanya.

    Apabila tiba waktu malam, kereta api bergoyang-goyang bersama tetamunya di dalam.

    “Ia merupakan pergerakan semula jadi,” kata Ferreira. “Ia datang daripada perkembangan dan pengecutan jambatan struktur besi. “Bahang pada siang hari menyebabkan besi berkembang, sementara malam dingin menjadikannya mengecut.

    “Pelanggan kami memuji kami kerana perjalanan mengingatkan mereka mengenai kereta api yang sedang bergerak,” katanya. “Ia adalah pergerakan yang tidak ketara.” – AFP

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...