Lawatan bincang hubungan dua hala

SEOUL, 26 NOV – Diplomat tertinggi China hari ini menekankan kepentingan hubungan dua hala ketika bertemu dengan pegawai kanan di Korea Selatan, di mana timbulnya kebimbangan negara itu tertekan di antara rakan perniagaan terbesarnya dan sekutu tentera Amerika Syarikat.

Selepas bertemu dengan Menteri Luar Korea Selatan Kang Kyung-wha, Menteri Luar China Wang Yi memberitahu wartawan lawatannya di tengah penularan pandemik koronavirus menunjukkan betapa Beijing menghargai hubungannya dengan Seoul.

Beliau menggesa kerjasama yang lebih erat dalam usaha memerangi pandemik, perniagaan dan mencari penyelesaian aman kepada perbalahan nuklear dengan Korea Utara.

Apabila ditanya sama ada Beijing sedang mendesak Seoul untuk memilih pihak di tengah ketegangan AS-China yang meningkat berhubung perniagaan, keselamatan dan isu lain, Wang berkata ‘Amerika bukan satu-satunya negara di dunia.’

“Terdapat 190 negara dan setiap satunya merupakan negara berdaulat,” kata beliau. “Mereka termasuk China dan Korea Selatan, yang merupakan jiran rapat dan harus kunjung-mengunjungi lebih kerap seperti sanak saudara.”

Wang, tiba di Seoul selepas lawatan ke Jepun di mana beliau bertemu dengan Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga, dan dijangka bertemu dengan Presiden Korea Selatan Mon Jae-in pada lewat hari ini.

Di Tokyo kelmarin, Wang memberitahu Suga beliau mahu kedua-dua kuasa Asia menjalin hubungan baik dan bekerjasama untuk memerangi koronavirus dan memulihkan ekonomi yang terkesan oleh pandemik. Namun kedua-duanya masih bertelagah mengenai perbalahan sebuah pulau. – AP

Menteri Luar Korea Selatan Kang Kyung-wha (kanan) mengalu-alukan kedatangan Menteri Luar China, Wang Yi sebelum mesyuarat di kementerian luar di Seoul, Korea Selatan kelmarin. Wang tiba di Seoul untuk lawatan tiga hari ke negara itu. – AP