Lawatan bincang isu serantau, pandemik

TOKYO, 20 NOV – Menteri luar Jepun mengumumkan hari ini bahawa rakan sejawatan China akan melawat Tokyo pada minggu depan tatkala kedua-dua negara Asia itu membincang cara-cara untuk meneruskan lawatan dua hala bertujuan memulihkan ekonomi yang terjejas oleh pandemik.

“Terdapat pelbagai isu yang timbul di antara Jepun dan China, dan adalah penting kami menyelesaikannya menerusi mesyuarat peringkat tinggi seperti ini,” kata Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi. “Saya berharap dapat bertukar pandangan mengenai isu serantau, pandemik koronavirus serta isu antarabangsa lain.”

Semasa lawatan pada 24 hingga 25 November, Motegi dan Menteri Luar China Wang Yi dijangka membincang untuk menyambung lawatan perniagaan di antara ekonomi nombor dua dan tiga menerusi program ‘perniagaan’ yang membenarkan pelawat membabitkan diri dalam aktiviti perniagaan terhad dalam tempoh kuarantin 14 hari mereka.

Motegi berkata pelawat China menyumbang jumlah terbesar pelancong di Jepun sebelum pandemik dan beliau berharap untuk membincang bagaimana mereka boleh meneruskan perjalanan sementara mengamalkan langkah pencegahan penyakit.

Lawatan akan diadakan di tengah kebimbangan meningkat berpunca daripada pengaruh China yang semakin meningkat di rantau itu.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison mengadakan rundingan pada minggu ini bersama Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga di mana mereka bersetuju untuk mempertingkat perkongsian dan kerjasama tentera mereka untuk mempromosi keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik untuk memerangi kebangkitan China.

Motegi berkata satu mesyuarat sedang diatur untuk Wang bertemu dengan Suga semasa lawatan beliau, yang pertama oleh pegawai tertinggi China sejak lawatan pada Februari oleh ketua dasar asing China Yang Jiechi.

Motegi berkata penjadualan semula lawatan Presiden China Xi Jinping ke Jepun, ditangguhkan pada musim bunga disebabkan pandemik, tidak akan dipertimbangkan memandangkan kedua-dua negara menumpu pada usaha memerangi pandemik. – AP

Gambar fail menunjukkan Menteri Luar China Wang Yi (kiri) bergambar bersama rakan sejawatan Jepun Toshimitsu Motegi sebelum mesyuarat di Jepun. – AP