Oleh Yusrin Junaidi
BELAIT, 8 OGOS – Persatuan Gerakan Ibu Tunggal baru-baru ini, telah mengadakan lawatan muhibah ke tiga lokasi iaitu Stesen Radio Televisyen Brunei, Cawangan Kuala Belait, Balai Raya Kampung Sungai Teraban, Belait dan Tapak Penternakan Ikan Bru Agro Agriculture Sdn Bhd.
Lawatan pada 6 Ogos lalu itu disertai oleh seramai 20 orang ahli yang diketuai oleh Yang Di-Pertua Persatuan Gerakan Ibu Tunggal, Dayang Norliha binti Haji Basar.
Objektif lawatan berkenaan adalah untuk membuka minda dan peluang kepada ibu tunggal khasnya ahli-ahli persatuan berkenaan mengenai peluang pilihan kerjaya dalam menaik taraf status kehidupan.
Ia juga serba sedikit mampu memberikan inspirasi dan dorongan untuk berusaha dengan lebih gigih dalam memperbaiki kehidupan dan mampu menolong masyarakat lainnya. Selain mempelajari benda atau hal baharu, ia turut menambah pengalaman serta pengetahuan dalam bidang kemahiran, pertanian, teknologi dan banyak lagi.
Semasa lawatan ke RTB cawangan Belait, rombongan sedikit sebanyak dapat menimba pengalaman dan pengetahuan tentang peranan media masa serta mempelajari cara menerima, memberi atau menyampaikan sesuatu bahan mengikut proses atau garis pandu yang telah ditetapkan.
Lawatan ke balai raya pula bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim bersama Majlis Perundingan Kampung Sungai Teraban khususnya para ibu tunggal di kampung berkenaan. Rombongan juga berkesempatan meninjau keadaan sekitar kampung dan mempelajari sejarah mengenai kampung berkenaan.
Seterusnya, rombongan juga ber-kesempatan melihat lebih dekat proses penternakan ikan semasa lawatan terakhir di Tapak Penternakan Ikan Bru Agro Agriculture Sdn Bhd.
Semasa lawatan itu, rombongan sedikit sebanyak mempelajari dan mengenal pasti spesies-spesies ikan yang boleh dan telah pun diternak di perusahaan berkenaan.