Lawatan buka minda

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Rombongan lebih 40 orang yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Ayer Zon 2 dan Kumpulan Majlis Perniagaan Wanita Brunei serta Persatuan Perpustakaan Brunei Darussalam telah mengadakan lawatan sambil belajar ke MPK Sungai Bunga hari ini.

Rombongan dikepalai oleh Pemangku Penghulu Mukim Sungai Kebun, Ketua Kampung Setia A dan B serta Kampung Sungai Kebun, Haji Asli bin Haji Mamut bersama Setiausaha Kumpulan Majlis Per-niagaan Wanita Brunei dan Persatuan Perpustakaan Brunei Darussalam, Hajah Nellie binti Haji Sunny.

Lawatan antara lain bertujuan bagi membuka minda para peserta melalui program perkongsian pengalaman di samping mengeratkan silaturahim dan membuka peluang untuk berkaloborasi dalam bidang yang bersesuaian.

Ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Pemangku Ketua Kampung Sungai Bunga, Awang Zaini bin Haji Salleh.

Setibanya di Pusat Aktiviti Pelancongan Sungai Bunga, rombongan terlebih dahulu mendengarkan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Awang Zaini sebelum medengarkan taklimat menerusi sesi perkongsian bersama MPK Sungai Bunga.

Pada sesi lawatan berkenaan, para peserta turut diberi peluang untuk menyaksikan sendiri proses pembuatan produk makanan seperti Keropok Udang Seri Tanjong, Nuget Ikan dan Putumayam yang didemontrasikan oleh ahli-ahli MPK Sungai Bunga.

Ketika ditemui Media Permata, Hajah Nellie menjelaskan bahawa lawatan seumpamanya memberi peluang dan se-terusnya menambahkan ilmu pengetahuan ahli-ahli persatuan di samping bertukar-tukar fikiran bersama para pengusaha kecil tempatan di negara ini tambahan lagi kebanyakan ahli-ahli Kumpulan Majlis Perniagaan Wanita Brunei terdiri daripada pengusaha-pengusaha perusahaan mikro.

Sementara itu, Haji Asli turut mengongsikan harapannya agar hasil lawatan berkenaan dapat disebarluaskan kepada para belia dan beliawanis yang berminat untuk menjadi lebih kreatif menghasilkan produk sendiri dan berniaga secara kecil-kecilan.

Antara peserta yang menyertai lawatan berkenaan.
Ahli MPK Sungai Bunga ketika menunjukkan cara pembuatan keropok udang.