Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Lawatan dalamkan hubungan ekonomi Brunei-UK

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Dengan matlamat untuk mendalamkan lagi hubungan ekonomi dan perdagangan antara Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom (UK), Utusan Perdagangan ke Negara Brunei Darussalam, Myanmar dan Thailand, Mark Garnier MP mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam bermula hari ini hingga 11 Ogos.

    Menurut kenyataan daripada Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, lawatan itu merupakan lawatan kedua Mark Garnier sebagai utusan perdagangan setelah lawatan pertamanya ke Brunei pada 2016.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berkenan untuk menerima mengadap Mark Garnier semasa lawatannya nanti.

    Semasa lawatan itu, Mark Garnier akan mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri, pemimpin perniagaan dan pakar industri.

    Utusan perdagangan itu berada di negara ini untuk meneroka peluang-peluang bagi kedua-dua buah negara bekerjasama dengan tumpuan kepada tiga bidang utama bagi kerjasama dua hala iaitu kewangan, pendidikan dan tenaga.

    Mark Garnier MP mengadakan lawatan ke Brunei Darussalam dari 8 hingga 11 Ogos.

    Mark Garnier dipetik menyatakan amat teruja untuk mengadakan lawatan keduanya ke Brunei dan bagi mendalamkan lagi hubungan ekonomi dan perdagangan kedua-dua buah negara.

    Beliau menambah bahawa UK merancang untuk bersetuju kepada Comprehensive and Progressive Trans Pacific Partnership (CPTPP) di mana Brunei merupakan salah satu ahli pengasas dan UK menjadi Rakan Dialog ASEAN telah membuka lebih banyak peluang ekonomi dan perdagangan bagi Brunei dan UK.

    “Saya amat ingin meneroka bagaimana UK dapat bekerjasama dengan Brunei bagi kepelbagaian ekonomi,” tambahnya.

    Beliau menyatakan lagi, berikutan dengan peranan UK sebagai Presiden COP26, mereka amat ingin bekerja rapat dengan negara-negara lain untuk menyampaikan komitmen yang dibuat semasa COP26.

    “Saya amat teruja untuk mendengar Brunei telah komited untuk menjadi NetZero menjelang 2050 dan untuk menghapuskan batu arang secara berperingkat,” ujarnya.

    Beliau menyatakan harapan semasa lawatannya itu, mereka akan dapat meneroka keutamaan tenaga Brunei dan bagaimana mereka dapat menyokong Brunei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...