Lawatan kapal perkukuh hubungan dua hala

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Kapal Tentera Laut India INS Shivalik dan INS Kadmatt sedang berlabuh di Pelabuhan Muara di mana satu upacara telah diadakan semalam.

Upacara telah dilakukan di hadapan Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar yang dikawal dengan protokol dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ketat.

Kapal INS Shivalik diketuai oleh Kapten Kapil Mehta sementara itu Komander R K Maharana selaku pegawai memerintah INS Kadmatt.

Bercakap pada upacara itu, TYT Ajaneesh Kumar mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana memberi sokongan untuk kedua-dua kapal berkenaan berlabuh di Pelabuhan Muara.

INS Shivalik adalah kapal utama dalam kelasnya iaitu stealth multirole frigates of Indian Navy. Ia juga dilengkapi dengan sistem senjata canggih termasuk Klub dan peluru berpandu anti-kapal supersonik Brahmos, peluru berpandu anti-pesawat Shtil dan Barak, peluru berpandu anti-kapal selam 90R dan Torpedo DTA-53.

TYT Ajaneesh Kumar bergambar ramai semasa upacara yang diadakan di Pelabuhan Muara baru-baru ini. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi India

Sementara itu, INS Kadmatt pula merupakan corvette anti-submarine warfare (ASW) yang dibina oleh Garden Reach Ship Builders & Engineers (GRSE) Kolkata. Kapal ini dilengkapi dengan pelbagai senjata termasuk senjata utama 76mm, sistem peluru berpandu Barak-1, torpedo dan pelancar roket.

TYT Ajaneesh Kumar menyatakan bahawa hubungan pertahanan antara India dan Brunei diperkukuhkan setelah menandatangani memorandum persefahaman mengenai kerjasama pertahanan pada Februari 2016, yang diperbaharui tahun ini selama lima tahun lagi.

Tuan Yang Terutama juga menekankan bahawa lawatan kapal itu dilakukan ketika India menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-75 dan ulang tahun ke-75 Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Kapal tentera laut tersebut akan berada di negara ini sehingga 12 Ogos depan.

Semasa berada di Brunei, warga kapal akan melakukan aktiviti tanpa hubungan dan interaksi secara maya tanpa turun daripada kapal secara fizikal selain mengadakan latihan pelabuhan, passing exercise (PASSEX) dan latihan komunikasi (COMMEX) dengan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), yang bertujuan untuk memperkukuh persefahaman antara tentera laut dan berkongsi amalan terbaik.