Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Rombongan ahli jawatankuasa (AJK) takmir masjid dan Muslimah Kampung Batu Marang akan mengadakan lawatan ke beberapa buah tempat di Daerah Temburong pada 8 Ogos ini dengan tujuan untuk mengeratkan lagi tali silaturahim di kalangan ahli rombongan bersama ahli-ahli majlis perundingan kampung (MPK) di Daerah Temburong.
Lawatan berkenaan merupakan salah satu aktiviti ajk takmir bagi sesi tahun 2016-2018.
Pada hari pertama, rombongan akan melawat ke Balai Raya Kampung Puni, Mukim Bangar yang akan dialu-alukan oleh pemangku ketua Kampung Puni.
Di sana rombongan akan diberikan taklimat mengenai latar belakang kampung-kampung, menyaksikan pameran, jualan dan tatacara pemprosesan telur itik di Daerah Temburong.

Rombongan seterusnya akan melawat ke MPK Batu Apoi, menyaksikan pemprosesan ambulong dan tunjukcara pembuatan mi oleh Biro Wanita MPK Senukoh.
Lawatan rombongan juga akan menyaksikan pembuatan cucur kulat, pembuatan penyaram dan banyak lagi.
Lawatan itu nanti diharap akan dapat memberikan peluang kepada AJK takmir masjid, Muslimah dan penduduk Kampung Batu Marang untuk menyaksikan lebih dekat aktivit-aktiviti dan gaya hidup penduduk di Daerah Temburong.