Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 2 April – Hampir 30 orang kalangan ahli Biro Wanita Majlis Perundingan Mukim (MPM) Lumapas, Daerah Brunei dan Muara telah mengadakan lawatan muhibah ke Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pekan Kuala Belait, di sini, hari ini.
Kunjungan rombongan yang diketuai oleh isteri penghulu Mukim Lumapas, Hajah Salmah dan disertai sama oleh Pengerusi Biro Wanita MPK Lumapas, Hajah Hamah binti Haji Puasa ke Pusat Aktiviti Kemasyarakatan MPK Pekan Kuala Belait telah dialu-alukan oleh pengerusi bersama lawatan tersebut, Hajah Kertini binti OKPSD Abang Haji Abu Hanifah.
Antara acara yang disediakan bagi mengalu-alukan lawatan tersebut ialah pameran produk Biro-biro Wanita MPM Kuala Belait yang terdiri daripada jualan anak-anak buah kampung di samping mengongsikan pengalaman dalam membentuk jaringan antara pengusaha tempatan Daerah Belait dan daerah lainnya.
Di samping, mereka turut mengongsikan produk-produk kesihatan dan demo membuat herba dan rawatan kulit wajah wanita serta beberapa aktiviti yang memfokuskan kepada menjana ekonomi terutama sekali kepada kalangan kaum wanita.
Ketika ditemu bual Media Permata, Hajah Hamah menjelaskan bahawa lawatan tersebut merupakan aktiviti pertama mereka bagi tahun ini dan seterusnya lawatan juga akan diadakan lagi ke Sepitang, Sabah.

Di samping aktiviti lawatan, biro berkenaan juga telah melaksanakan beberapa aktiviti lainnya termasuklah aktiviti ke arah menjana ekonomi pendapatan kalangan ahli-ahli MPM dan MPK mukim berkenaan dan sebagainya.
“Lawatan ini juga dihasratkan untuk memberikan suntikan semangat dan mendapatkan pengalaman baru atau menambahkan lagi pengalaman yang sedia ada kepada kalangan ahli-ahli Biro Wanita Majlis Perundingan Mukim Lumapas, selain untuk berkenal-kenalan dengan ahli-ahli majlis perundingan kampung di sini,” katanya lagi.
Beliau menambah, melalui lawatan itu diharapkan ia akan dapat membuka minda ahli-ahli Biro Wanita untuk lebih bergiat aktif serta produktif.
Antara produk yang diketengahkan secara kecil-kecilan oleh kalangan ahli-ahli Biro Wanita MPM Lumapas pada masa ini termasuklah bawang goreng, tumpi, cecah Ambuyat seperti Cacah Tampoyak, Binjai, Tampoyak dan Binjai, dijual melalui cara dalam talian dan juga sering menyertai bazar-bazar dan jualan-jualan yang diadakan di Daerah Brunei dan Muara dan sebagainya.
Sementara itu, Hajah Kertini yang merupakan Setiausaha MPK Pekan Kuala Belait, ketika ditemu bual menjelaskan, melalui kunjungan berkenaan diharapkan hubungan erat antara kedua-dua MPM Lumapas dan MPK Pekan Kuala Belait akan menjadi lebih erat terutama sekali dalam kerjasama memajukan lagi bidang perniagaan dalam kalangan kaum wanita yang aktif berniaga, supaya dapat meningkatkan jumlah keramaian pengusaha untuk tampil ke hadapan dan wanita-wanita akan lebih terdidik untuk berdikari.